BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Audio disahkan peguam milik Zara Qairina dan ibunya: Dedah pelajar senior ‘Kak M’

KUALA LUMPUR – Rakaman audio berdurasi 44 saat yang membabitkan perbualan antara Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan ibunya, Noraidah Lamat disahkan tulen oleh peguam keluarga itu.

Pengesahan itu dibuat dalam kenyataan bertarikh 1 Ogos oleh peguam mewakili keluarga mangsa, Ismail Hamid dan Shahlan Jufri, selepas rakaman berkenaan tular di media sosial, seperti dilaporkan Buletin TV3.

Rakaman yang memaparkan ketakutan Zara terhadap pelajar seniurnya itu mengukuhkan dakwaan remaja berusia 13 tahun itu pernah menerima ugutan daripada seorang pelajar senior yang dikenali sebagai ‘Kak M’.

“Mak, Zara takut terjumpa Kak M, dia masih lagi… Haritu Zara minta tolong ada orang ni kan, cuba ko tanyakan dekat adiknya, cuba kau tanyakan dekat si Kak M masih lagikah dia ada masalah dengan aku.

“Lepas itu, Kak M tu bilang, ‘iya aku masih lagi nda maafkan si Zara’, mak,” kata suara yang dipercayai sebagai Zara.

Rakaman itu sekaligus mencetuskan kemarahan warganet yang mahu siasatan menyeluruh berhubung kematian pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) di Papar, Sabah itu dijalankan.

Rakaman dipercayai dirakam hanya beberapa hari sebelum Zara ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.

Turut dimuatkan dalam audio itu ialah keluhan Zara mengenai namanya yang ditulis dan dipadam dalam bilik Rekabentuk dan Teknologi (RBT), namun ditulis semula – dipercayai sebagai bentuk gangguan berulang.

“Mak, Zara sudah padam, lepas tu dibuatnya balik,” katanya.

Paling mencemaskan ialah pengakuan Zara mengenai ugutan yang pernah diterimanya.

“Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah-darah kau ni… kalau dia buat, apa jadi?” katanya dalam nada ketakutan.

Susulan pendedahan rakaman itu, satu laporan polis tambahan telah dibuat oleh keluarga di Balai Polis Sipitang pada 30 Julai lalu.

Menurut kenyataan peguam, Zara sebelum ini pernah memaklumkan kepada ibunya bahawa beliau sering diganggu oleh beberapa pelajar senior, termasuk pelajar dikenali sebagai ‘Kak M’ yang pernah mengeluarkan ugutan terhadapnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengesahkan bahawa kertas siasatan penuh berhubung kematian Allahyarham telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam untuk tindakan lanjut.

AGC dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan siasatan awal daripada dua peringkat – iaitu dari Cawangan Sabah pada 3 Ogos dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Putrajaya pada 4 Ogos.

Kes kematian Allahyarham Zara Qairina kini menjadi perhatian nasional, dengan pelbagai pihak mendesak siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan, demi menegakkan keadilan untuk remaja tersebut.

Netizen di seluruh negara terus menuntut agar pihak bertanggungjawab didakwa, sambil menggesa kerajaan menilai semula prosedur keselamatan dan kawalan disiplin di sekolah berasrama penuh agama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button