BERITA SEMASA

Amaran angin kencang, laut bergelora kekal di beberapa kawasan sehingga 18 Disember

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengekalkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketiga di beberapa kawasan di negara ini berkuat kuasa sehingga 18 Disember.

Amaran itu dikeluarkan susulan rantau negara kini menerima tiupan angin dari arah timur laut dengan kelajuan agak kencang melebihi 40 kilometer sejam (km/j).

“Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perikanan, perkapalan, sukan dan rekreasi laut,” kata MET Malaysia melalui laporan cuaca di YouTube hari ini.

Selain itu, agensi tersebut turut mengekalkan amaran hujan berterusan kategori waspada di beberapa kawasan khususnya di timur Semenanjung.

“Kawasan terbabit di Kelantan meliputi jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Putih selain seluruh Terengganu dan Pahang membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Amaran sama turut melibatkan beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, amaran hujan berterusan turut berkuat kuasa di Sarawak sehingga 16 Disember ini khususnya di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

“Justeru, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan peka terhadap perubahan cuaca semasa,” katanya.

Dalam pada itu, MET Malaysia turut memaklumkan keadaan cuaca lembap kini tertumpu di bahagian timur Semenanjung melibatkan negeri yang berada dalam tempoh amaran seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Katanya, keadaan berkenaan dijangka bergerak ke arah barat Semenanjung menjelang tengah hari dan berpotensi meliputi seluruh negeri di Semenanjung pada sebelah petang.

“Bagi Sabah, keadaan cuaca lembap dikesan di Kudat dan Sandakan dan dijangka berterusan hingga waktu pagi, sebelum tertumpu di kawasan pedalaman, pantai barat serta Tawau pada sebelah petang.

“Sementara itu, di Sarawak, keadaan cuaca lembap kini tertumpu di perairan negeri itu dan dijangka bergerak ke kawasan selatan serta barat menjelang lewat pagi, selain berpotensi berlarutan dalam tempoh yang lebih panjang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button