BERITA SEMASA

Pelan Strategik KKDW 2026-2030 fokus 5 kluster sebagai hala tuju pembangunan desa

KUALA NERUS – Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026–2030 yang dilancarkan hari ini akan memberi tumpuan kepada lima kluster utama sebagai hala tuju pembangunan desa bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, lima kluster tersebut merangkumi ekonomi desa, modal insan, rangkaian infrastruktur, keusahawanan desa serta sistem penyampaian perkhidmatan.

“Sebanyak 20 strategi dan 49 inisiatif telah dirangka bagi memacu pembangunan desa yang bersepadu dan mampan, menyasarkan 8.17 juta penduduk luar bandar yang mewakili 24 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia,” kata Ahmad Zahid.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada majlis pelancaran pelan berkenaan dan Program Residensi Kementerian 2026 di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Ahmad Zahid seterusnya berkata, pelan tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Matlamat Pembangunan Mampan, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 serta Dasar Pembangunan Desa.

“Ia juga berfungsi sebagai dokumen panduan dalam pelaksanaan program dan projek kementerian, dengan penekanan kepada kecekapan penyampaian, akauntabiliti dalam penggunaan sumber awam serta impak langsung kepada komuniti luar bandar,” katanya lagi

Beliau turut menambah, keupayaan KKDW melaksanakan anjakan strategik ini disokong oleh pencapaian yang diraih sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pencapaian ini menandakan peralihan daripada fasa perancangan kepada fasa pelaksanaan,” katanya.

Antara pencapaian KKDW sepanjang RMK12 ialah penurunan kadar kemiskinan luar bandar kepada 9.9 peratus pada 2024 berbanding 12.9 peratus pada 2022, serta pengurangan kadar migrasi dari luar bandar ke bandar kepada 0.5 peratus pada 2024 berbanding 2.4 peratus pada 2022.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button