BERITA SEMASAPMX

PM jamin tanah rizab Melayu di Semenyih akan diganti

SEMENYIH – Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa tanah rizab Melayu yang diambil bagi tujuan pembangunan di Semenyih akan diganti dan tidak akan hilang secara kekal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu diperoleh selepas Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menyediakan tanah gantian bagi setiap pengambilan tanah rizab Melayu yang terlibat dengan projek pembangunan infrastruktur.

Menurut beliau, prinsip berkenaan tidak boleh dikompromi walaupun pembangunan diperlukan untuk kepentingan awam.

“Saya tidak akan berkompromi mengenai tanah rizab Melayu. Jika ia diambil untuk pembangunan seperti pembinaan jalan, ia mesti diganti. Itu adalah jaminan Menteri Besar Selangor,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Kampung Sungai Pening, di sini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Pengasas KHK Land, Tan Sri Kong Hon Kong.

Anwar berkata, inisiatif pembangunan itu bertujuan mempercepat kemajuan serta meningkatkan kualiti hidup penduduk, termasuk pembinaan Laluan Pintas Semenyih dan pembangunan kira-kira 100,000 lot perkuburan Islam yang memerlukan perancangan rapi kerana melibatkan tanah rizab.

Beliau turut menegaskan keperluan mendesak menyediakan lot perkuburan baharu berikutan kekurangan kemudahan di Kuala Lumpur, dengan baki sedia ada dijangka hanya mencukupi untuk tiga hingga empat tahun lagi.

Menurutnya, projek Laluan Pintas Semenyih yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara KHK Land dan Kerajaan Persekutuan akan menghubungkan Semenyih ke Lebuhraya SILK serta beberapa lebuh raya utama lain.

Laluan sepanjang 4.3 kilometer itu dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memendekkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur daripada kira-kira 45 minit kepada 20 minit dan dijadual siap pada 2027.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button