BERITA SEMASA

Laporan akhir kemalangan maut bas UPSI Jeli–Gerik didedahkan kepada umum

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung kemalangan maut melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur–Barat (Jeli–Gerik), Perak pada 9 Jun 2025, telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan mendapat kelulusan untuk didedahkan kepada umum.

MOT berkata, laporan berkenaan akan dimuat naik di laman sesawang rasmi kementerian pada jam 3 petang hari ini bagi membolehkan orang awam, pihak berkepentingan serta semua pihak berkaitan meneliti dapatan dan syor yang dikemukakan.

Laporan akhir kemalangan maut bas UPSI Jeli–Gerik

“MOT komited untuk memastikan setiap dapatan siasatan dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha menambah baik tahap keselamatan pengangkutan jalan, khususnya melibatkan pengangkutan awam dan bas persiaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MOT turut berkata, pendedahan laporan akhir berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban awam, selain memastikan langkah pencegahan dapat dirangka secara lebih berkesan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Kemalangan pada 9 Jun 2025 itu melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa penumpang pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di laluan Jeli–Gerik, yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan di laluan berisiko tinggi berkenaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mengakses laporan penuh tersebut melalui laman sesawang rasmi Kementerian Pengangkutan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button