BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Iqbal: Dua lagi warga Bangladesh ditahan

KUALA LUMPUR – Dua lagi lelaki warga Bangladesh dipercayai saki baki sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai sindiket Iqbal ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri servis yang dijadikan rumah transit di Taman Maluri, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan terdahulu membawa kepada penahanan lima lelaki berusia antara 27 hingga 44 tahun yang disyaki migran yang diseludup masuk ke negara ini secara haram.

Menurut beliau, penjaga rumah transit berusia 28 tahun serta seorang transporter sindiket berusia 56 tahun, kedua-duanya warga Bangladesh ditahan dalam operasi berkenaan.

“Kesemua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran dan mempunyai kaitan dengan sindiket Iqbal yang berjaya ditumpaskan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan kemasukan migran warga Bangladesh melalui jalan tikus di Kelantan sebelum dibawa ke lokasi transit di Lembah Klang.

“Hasil semakan ke atas pasport mendapati semua migran yang ditahan tidak mempunyai cop pengesahan ketibaan ke Malaysia yang sah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket Iqbal yang menggunakan sebuah premis terpencil sebagai rumah penampungan, dengan sindiket itu dipercayai meraih keuntungan keseluruhan sehingga RM1.5 juta.

Serbuan berkenaan dijalankan oleh pegawai Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, dengan kerjasama Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kelantan.

Zakaria berkata, premis di Taman Maluri itu dikenal pasti dijadikan rumah transit sementara bagi migran yang baru tiba dari Pantai Timur sebelum dihantar ke destinasi seterusnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button