LUAR NEGARA

Israel roboh Ibu Pejabat UNRWA di Baitulmaqdis Timur, PBB sifatkan pelanggaran undang-undang antarabangsa

BAITULMUQADDIS – Tindakan jentolak Israel merobohkan ibu pejabat agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur semalam mencetuskan kecaman antarabangsa.

Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai serangan paling serius terhadap institusi global itu setakat ini.

Menurut jurucakap UNRWA, Jonathan Fowler, tentera Israel menyerbu kompleks milik PBB berkenaan sejurus selepas pukul 7 pagi waktu tempatan sebelum mengusir pengawal keselamatan.

Tidak lama kemudian, beberapa jentolak tiba dan mula merobohkan bangunan yang telah lama berfungsi sebagai pusat operasi UNRWA di wilayah tersebut.

“Ini adalah serangan yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap UNRWA dan premisnya.

“Ia merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk keistimewaan serta kekebalan yang diberikan kepada PBB.

“Apa yang berlaku hari ini terhadap UNRWA boleh berlaku kepada mana-mana organisasi antarabangsa atau misi diplomatik di seluruh dunia pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa Israel menghentikan segera perobohan itu serta memulangkan dan membaik pulih semua kompleks UNRWA yang terjejas tanpa sebarang kelewatan.

Jurucakap beliau, Farhan Haq berkata, gesaan itu dibuat bagi memastikan penghormatan terhadap mandat dan peranan kemanusiaan PBB terus dipelihara.

Menurut laporan Al Jazeera, UNRWA telah lama berdepan tekanan berterusan daripada Israel khususnya selepas konflik Gaza tercetus dengan Tel Aviv menuduh agensi itu mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata Palestin.

Bagaimanapun, dakwaan yang dinafikan keras oleh UNRWA dan belum dibuktikan secara bebas.

Media antarabangsa turut melaporkan bahawa komuniti global, termasuk Kesatuan Eropah dan beberapa badan hak asasi manusia berulang kali menegaskan bahawa status Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah diduduki menjadikan sebarang tindakan unilateral Israel termasuk perobohan dan rampasan tanah, sebagai bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Luar Israel mempertahankan tindakan itu dengan mendakwa Israel merupakan pemilik tanah di mana kompleks UNRWA tersebut dibina.

Namun, hujah itu ditolak oleh PBB yang menegaskan bahawa premis berkenaan dilindungi di bawah kekebalan diplomatik dan undang-undang antarabangsa.

UNRWA memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan kemanusiaan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan kepada jutaan pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur serta negara-negara jiran.

Justeru, sebarang gangguan terhadap operasinya dijangka memberi kesan besar terhadap kestabilan kemanusiaan di rantau itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button