MINDEF junjung kasih titah Agong, tegas tangani salah guna kuasa, rasuah dalam ATM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjunjung kasih serta mengambil serius titah dan peringatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkaitan isu salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah, khususnya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peringatan tersebut wajar diberi perhatian memandangkan ATM merupakan sebuah institusi penting yang perlu mengekalkan keyakinan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara.
Menurut beliau, MINDEF akan memastikan titah berkenaan dijadikan pegangan bagi mengelakkan berulangnya perkara yang pernah berlaku sebelum ini.
“Kita menjunjung kasih dan mengambil peringatan itu secara serius. Kita akan pastikan ia menjadi pegangan dan tidak berlaku seperti yang dilalui pada tahun lepas dan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sasar Residensi Sateria, Sungai Besi, di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam Titah Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa atas kes rasuah melibatkan pegawai tertinggi ATM yang dibongkar baru-baru ini.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam ATM sehingga peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sahaja menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT),” titah Baginda.
Baca juga : Pelan antirasuah MINDEF dirombak besar-besaran tahun ini – Khaled Nordin
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pendekatan-pendekatan untuk mengekang ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa turut digariskan dalam ucapan amanat tahun baharunya sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dalam kementerian.
Dalam ucapan amanat tahun baharunya sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, MINDEF akan merombak secara besar-besaran pelan antirasuah kementerian itu pada tahun ini sebagai langkah tegas membanteras rasuah dan ketirisan dalam ekosistem pertahanan negara.
Beliau berkata, rasuah atau persepsi rasuah dalam apa jua bentuk di kementerian berkenaan mesti dihentikan tanpa sebarang toleransi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








