Bila tahu saya seorang menteri, ada yang mula ubah layanan – Marhamah Rosli
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli meluahkan pengalaman peribadi yang disifatkan sebagai antara detik paling tidak menyenangkan sejak memegang jawatan itu apabila menerima layanan dingin hanya kerana penampilannya yang sederhana.
Menurut beliau, ketika mengenakan pakaian biasa berupa baju kurung dan tudung labuh tanpa sebarang imej ‘vogue’ atau ‘power look’, beliau dilayan dengan nada suara kasar, wajah sinis dan kurang dipedulikan.
Bagaimanapun, katanya, layanan itu berubah secara mendadak sebaik sahaja identitinya sebagai Timbalan Menteri diketahui termasuk perubahan nada suara menjadi lebih lembut serta layanan yang jauh lebih mesra.
“Pengalaman itu menimbulkan banyak persoalan dalam fikiran saya. Adakah manusia tanpa jawatan tidak layak dilayan dengan baik? Adakah penghormatan hanya diberikan apabila seseorang mempunyai pangkat?” katanya menerusi satu catatan di media sosial, semalam.
Marhamah berkata, pengalaman tersebut mendorong beliau melakukan muhasabah diri dan pada masa sama menegur sikap segelintir masyarakat yang terlalu menilai seseorang berdasarkan jawatan dan kedudukan.
Beliau menegaskan bahawa Islam tidak mengajar umatnya menilai manusia berdasarkan gelaran atau pangkat, sebaliknya menekankan adab, akhlak dan keadilan dalam melayan sesama insan.
“Kita terlalu biasa menghormati jawatan tetapi lupa menghormati manusia. Adab tidak bergantung pada pangkat dan Islam tidak mengajar nilai seseorang berdasarkan ‘title’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kedudukan dan jawatan hanyalah pinjaman Allah yang boleh diangkat atau ditarik pada bila-bila masa.
“Yang patut konsisten bukan layanan apabila seseorang berjawatan tetapi akhlak walau siapa pun yang berada di hadapan kita. Jika kita hanya baik kepada orang ‘berjawatan’, itu bukan profesional, tetapi satu bentuk double standard,” ujarnya.
Marhamah turut menegaskan bahawa catatan tersebut bukan bertujuan menuduh mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan kepada diri sendiri dan masyarakat agar tidak memandang rendah terhadap sesiapa.
Beliau menutup catatan itu dengan menekankan bahawa Islam yang progresif dan berkemajuan ialah Islam yang adil, tenang serta konsisten dalam layanan selain menegaskan bahawa rahmah bermula daripada cara manusia melayan manusia lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







