BERITA SEMASA

AGC putuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan rasuah Zahid, bawa kepada penamatan muktamad kes

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan rasuah berkait dana Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan.

Menurut AGC dalam satu kenyataan, hari ini, keputusan itu selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

Katanya, keputusan diambil berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah.

“Siasatan lanjut meliputi aspek sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk enam representasi yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid selepas beliau dipanggil untuk membela diri.

“Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperoleh, jabatan ini mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi semua pertuduhan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu katanya, antara faktor yang dipertimbangkan termasuk skop dan fokus siasatan awal, kesesuaian serta kecukupan keterangan untuk menyokong pendakwaan, langkah siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta dapatan menyeluruh berkaitan penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran sumbangan dana dari semasa ke semasa.

“Keputusan ini mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” kata kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button