JENAYAH & MAHKAMAH

Permohonan Ahmad Zahid lepas dan bebas 47 pertuduhan didengar hari ini

KUALA LUMPUR – Permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah serta pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Prosiding dijadualkan bermula jam 9 pagi di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’Ain Mohamad Nor dan Presiden UMNO itu dijangka hadir.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan tersebut pada 28 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden, susulan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Pada 12 Januari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menegaskan keputusan berkenaan dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap enam representasi dikemukakan oleh Ahmad Zahid.

Menurutnya, keputusan itu tidak dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan penilaian terhadap fakta, bukti serta merit undang-undang.

Terdahulu, pada 4 September 2023, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Dalam kes tersebut, Ahmad Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, lapan pertuduhan menerima suapan serta 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pecah amanah, beliau didakwa menggunakan dana berkenaan untuk pembayaran kad kredit peribadi, polisi insurans, lesen kenderaan, pemindahan wang kepada firma guaman serta sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India antara Januari 2014 hingga Disember 2016, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan rasuah pula, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan projek berkaitan sistem MyEG, pembekalan cip pasport serta pengendalian pusat sehenti visa migran di Pakistan dan Nepal ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Beliau juga didakwa terbabit dalam transaksi pengubahan wang haram antara Mac 2016 hingga April 2018.

Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pihak pendakwaan diketuai Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad.

Keputusan permohonan berkenaan dijangka memberi implikasi besar terhadap kedudukan kes itu yang menjadi perhatian umum sejak beberapa tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button