Malaysia usahakan ekstradisi Tim Leissner bagi prosiding jenayah di negara ini
KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) kini meneliti permintaan Malaysia untuk menyerahkan bekas pengurus kanan Goldman Sachs, Tim Leissner, bagi dibicarakan di negara ini.
Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), permintaan ekstradisi itu telah dihantar pada 14 Ogos tahun lalu dan Malaysia turut mengambil tindakan susulan dengan mengemukakan maklumat tambahan yang diminta pihak AS.
“Sejak 2023, apabila Roger Ng dikembalikan kepada penyiasat Malaysia selepas dibicarakan dan disabitkan di AS, terdapat maklumat baharu yang ditemui. Malaysia terus berusaha mendapatkan dokumen dan individu, termasuk Tim Leissner, yang sebelum ini tidak pernah dibicarakan dalam sistem keadilan negara,” kata AGC dalam kenyataan hari ini.

AGC menegaskan usaha itu adalah untuk menuntut keadilan serta pemulihan yang wajar daripada perbankan gergasi global dan semua pihak yang terbabit dalam perlakuan jenayah, berikutan kesan kewangan berterusan dan kerugian yang tidak dapat dipulihkan sehingga kini.
“Langkah ini memerlukan keazaman dan kecekalan berterusan. Ia selaras dengan tekad Malaysia menegakkan keadilan dan memastikan rakyat tidak menjadi mangsa penipuan terbesar dalam sejarah moden yang melibatkan peranan Goldman Sachs,” tambah AGC.
Tindakan ini juga mencerminkan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap penglibatan institusi kewangan antarabangsa dalam skim penipuan yang memberi impak serius terhadap negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








