BERITA SEMASA

Tawaran biasiswa palsu lepasan SPM: Kaunselor dedah taktik licik sindiket perdaya ibu bapa

KUALA LUMPUR – Ibu bapa serta pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diingatkan berwaspada terhadap tawaran biasiswa dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi palsu, khususnya yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

Kaunselor pendidikan, Cikgu Abdul Muiez Ruslee mendedahkan setiap tahun beliau menerima aduan berkaitan tawaran yang kononnya menawarkan biasiswa atau peluang melanjutkan pelajaran, sedangkan pelajar terbabit tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi.

Abdul Muiez berharap ibu bapa berwaspada dengan taktik licik sindiket yang menawarkan biasiswa palsu untuk calon lepasan SPM. 

Menurut beliau, semua permohonan kemasukan dan biasiswa melibatkan Unit Pusat Universiti (UPU), Institut Pendidikan Guru (IPG), Matrikulasi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Institut Pendidikan MARA (IPMA) serta biasiswa kerajaan dan swasta dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

“Tidak pernah lagi berlaku biasiswa ditawarkan kepada pelajar yang tidak pernah memohon.

“Jadi apabila terima mesej tawaran sebegini, nasihat saya, abaikan sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Abdul Muiez turut mendedahkan terdapat tiga petanda utama (red flag) yang sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa.

Antaranya, tawaran biasiswa diberikan walaupun pelajar tidak pernah memohon, kehadiran temu duga diminta bersama ibu bapa serta keperluan membawa wang pendaftaran sekitar RM500.

“Kalau temu duga, sejak bila pula kena bawa mak ayah?” katanya secara sinis.

Lebih membimbangkan, sindiket ini turut menggunakan taktik mengelirukan dengan menetapkan lokasi temu duga di premis yang kelihatan rasmi seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Perpustakaan Awam bagi meyakinkan mangsa.

“Bila dapat mesej melalui WhatsApp, sedangkan kita tak pernah mohon apa-apa, logiknya di mana mereka dapat data kita dan atas dasar apa mereka boleh tawarkan?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa dan pelajar supaya tidak mudah terpedaya serta menasihatkan agar maklumat tersebut disebarkan kepada orang ramai bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan.

“Kalau dapat mesej begini, tolong abaikan dan jangan bayar apa-apa,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button