Abaikan kereta idaman, lelaki pilih Proton S70 demi keselesaan mentua
KUALA LUMPUR – Seorang pengguna media sosial, Abdul Muiez Ruslee berkongsi kisah menyentuh hati apabila beliau dan isterinya membuat keputusan membeli kereta Proton S70 bukan kerana kemahuan sendiri, tetapi demi keselesaan kedua ibu bapa mentuanya.
Menurut Abdul Muiez yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, beliau sudah lama merancang untuk membeli kereta baharu selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya yang berusia lebih sedekad dan sering mengalami masalah. Namun, hasrat itu ditangguhkan beberapa kali.

Beberapa bulan lalu, beliau dan isteri mula meninjau model Proton termasuk S70 dan X50 selepas sesi pandu uji, namun masih menangguhkan keputusan.
“Dua minggu lepas, kami ke AEON dan kebetulan ada pameran Proton. Entah apa yang sales advisor (SA) ‘baca’ terus kami terpukau.
“Esoknya kami pandu uji dan setuju nak beli X50,” tulisnya dalam hantaran di Facebook semalam.
Namun, keputusan itu berubah selepas peristiwa kecil bersama ibu bapanya.
“Malam itu kami makan sekeluarga. Mak nak naik kereta adik ipar tapi kereta Subaru agak tinggi.
“Akhirnya mak abah naik MPV kami. Masa tu baru terfikir kalau kami beli X50 yang tinggi juga, mak abah tentu susah nak naik,” katanya lagi.
Jelas Abdul Muiez, kata-kata isterinya malam itu benar-benar menyentuh hati:
“Buat apa kita beli kereta baru, tapi tak boleh nak bawa mak abah.”
Atas sebab itu, mereka sepakat menukar pilihan kepada Proton S70, sebuah sedan yang lebih mesra untuk golongan warga emas.
Lebih istimewa, Abdul Muiez memilih untuk mengambil kereta tersebut di cawangan Proton Seri Iskandar, bukan di Sungai Besar agar ibu bapa mentuanya dapat turut merasai pengalaman mengambil kereta baharu bersama.
“Biar mereka rasa keterujaan itu. Bukan sekadar tahu kami beli kereta baru, tetapi hadir dan menjadi sebahagian daripada memori itu,” ujarnya.
Tambah beliau, keputusan itu mengajarnya makna kebahagiaan sebenar bukan pada memiliki apa yang diingini, tetapi dalam menggembirakan kedua ibu bapa selagi mereka masih ada.
“Kereta boleh diganti, tapi masa dengan mak ayah tak boleh diulang. Jika diberi pilihan antara bangga dengan kereta baru atau buat mak abah rasa dihargai, pilihlah yang kedua,” katanya.
Hantaran Abdul Muiez yang sarat dengan nilai kasih dan pengorbanan itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang memuji sikap beliau mendahulukan kebahagiaan ibu bapa daripada kehendak sendiri.
“Alhamdulillah.. Semoga kebaikan yang kita tabur akan berbalik kepada kita juga nanti. Amin,” tulis Norfaizah Othman.
“Tahniah kerana meraikan ibu ayah,” komen Zaharuddin Abd Ghaffar pula.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




