MALAYSIA sedang menuju status negara tua. Ini bukan sekadar unjuran statistik tetapi realiti demografi yang hampir pasti.
Menjelang 2030 hingga 2035, lebih 15 peratus penduduk negara ini dijangka berusia 65 tahun ke atas iaitu ambang rasmi sebuah negara tua.
Namun persoalan paling penting bukan sekadar tentang kos kesihatan, pencen atau kebajikan warga emas.

Soalan yang jauh lebih mendasar dan jarang ditanya secara jujur ialah apakah peranan warga emas dalam negara yang semakin menua ini?
Malangnya, jawapan yang semakin normal dalam masyarakat kita ialah pengunduran.
Bersara dianggap noktah peranan. Pencen disalah tafsir sebagai penamat sumbangan. Lebih membimbangkan, pengunduran ini sering dibungkus dengan bahasa agama iaitu ‘fokus akhirat’.
Niat mungkin ikhlas tetapi keikhlasan tidak menjadikan kefahaman yang salah itu benar.
Pencen: Konsep sistem yang disucikan secara salah
Pencen ialah istilah pentadbiran moden. Ia dicipta untuk mengurus tenaga kerja, bukan untuk menentukan nilai manusia.
Namun dalam masyarakat kita, pencen telah dinaikkan statusnya seolah-olah prinsip agama, seakan-akan Islam mengajar bahawa selepas usia tertentu, seseorang bebas daripada amanah memberi manfaat.
Ini satu kekeliruan yang serius. Dalam Islam, manusia hanya benar-benar ‘bersara’ apabila mati.
Selagi nyawa masih dikandung badan dan akal masih berfungsi, tuntutan untuk memberi manfaat tidak pernah gugur.
Mengundurkan diri sepenuhnya daripada masyarakat atas nama akhirat bukan tanda kesolehan, ia boleh menjadi tanda kegagalan memahami agama secara menyeluruh.
Islam tidak pernah memisahkan ibadah daripada kehidupan manusia. Membina masyarakat, membimbing generasi dan memindahkan ilmu adalah sebahagian daripada ibadah itu sendiri.
Negara tua perlu warga emas aktif
Dalam negara yang menua, generasi muda semakin kecil bilangannya. Tenaga mereka ada tetapi pengalaman mereka terbatas.
Jika golongan paling berpengalaman memilih untuk berdiam diri, negara akan kehilangan satu aset yang tidak boleh diganti iaitu hikmah hidup.
Negara tua tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tenaga muda. Ia memerlukan pemindahan ilmu, pengalaman dan nilai secara berterusan.

Warga emas bukan beban, mereka adalah aset strategik yang menentukan kestabilan sosial dan kesinambungan nilai.
Tanpa mentor dan pembimbing, generasi muda akan membina kehidupan berasaskan maklumat digital semata-mata tanpa kebijaksanaan pengalaman sebenar.
Ini bukan sekadar cabaran sosial, tetapi risiko jangka panjang kepada pembinaan modal insan negara. Ini bukan sekadar isu sosial. Ia isu kelangsungan nilai.
Hadis yang kita baca, enggan dilaksana
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini sering dibacakan di majlis kematian. Namun jarang kita bertanya soalan paling penting: bilakah tiga perkara ini sepatutnya dibina?
Sedekah jariah tidak muncul selepas kematian. Ilmu yang dimanfaatkan tidak berlaku secara automatik. Anak soleh tidak terhasil secara kebetulan.
Ketiga-tiganya mesti dibina semasa hidup dan ironinya, usia tua adalah fasa paling strategik untuk membinanya.
Ilmu tidak akan dimanfaatkan jika pemiliknya memilih diam. Pengalaman tidak menjadi sedekah jariah jika dibiarkan mati bersama pencen. Anak soleh tidak lahir tanpa bimbingan generasi sebelumnya.
Menghadiri kelas agama sahaja tidak mencukupi jika ilmu itu tidak mengalir keluar membentuk manusia.
Belajar daripada Jepun: Usia tua sebagai maruah
Jika kita mahu bercakap tentang negara tua, Jepun ialah cermin paling jelas. Lebih 28 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas. Namun usia tua di Jepun tidak sinonim dengan pengunduran diri.
Warga emas Jepun masih bekerja dan terlibat dalam masyarakat bukan kerana mereka miskin atau terdesak oleh keperluan hidup, tetapi kerana maruah, harga diri dan rasa diperlukan.

Mereka mungkin tidak lagi memegang jawatan besar tetapi menjadi mentor, pembimbing komuniti, pengajar kemahiran dan penjaga disiplin sosial.
Kerja bagi warga emas di Jepun bukan sekadar soal produktiviti. Ia soal maruah serta penghargaan kepada diri.
Ironinya, apa yang diamalkan Jepun hari ini lebih hampir kepada roh Islam berbanding kefahaman sebahagian umat Islam sendiri.
Islam tidak pernah menjadikan usia tua sebagai alasan untuk berhenti berkhidmat. Bahkan dalam Islam, usia tua sepatutnya menjadi kemuncak hikmah, bukan permulaan pengunduran.
Mengasingkan diri bukan zuhud
Ada yang menyangka pengunduran diri daripada masyarakat sebagai bentuk zuhud. Ini satu salah faham yang kurang tepat.
Zuhud bukan menjauhkan diri daripada manusia tetapi menjauhkan hati daripada ketamakan dunia sambil tetap memikul amanah terhadap manusia.
Rasulullah SAW hidup dalam masyarakat, memimpin, mendidik dan membimbing hingga ke akhir hayat.
Baginda tidak pernah ‘bersara’ daripada membentuk manusia. Jika Rasulullah SAW memilih untuk terus memberi hingga ke saat akhir, siapakah kita untuk berhenti lebih awal?

Fokus kepada akhirat itu baik, malah sangat terpuji. Mencari ilmu agama, menghadiri kelas al-Quran dan memperbaiki hubungan dengan Allah adalah keperluan setiap Muslim, khususnya di usia tua.
Namun di sinilah sering berlaku kekeliruan apabila usaha mendekatkan diri kepada Allah difahami seolah-olah menuntut seseorang berhenti memberi manfaat kepada manusia.
Sedangkan Islam tidak pernah memisahkan ibadah daripada tanggungjawab sosial.
Ramai yang terlupa bahawa terdapat satu lagi ibadah besar yang tidak pernah gugur selagi seseorang masih hidup dan berupaya iaitu mengalirkan manfaat kepada manusia, mengajar apa yang diketahui, membimbing generasi baharu serta membangun dunia sambil membangun akhirat.
Ilmu yang dikongsi, pengalaman yang diwariskan dan nasihat yang ikhlas adalah amal berpanjangan, bukan gangguan kepada ibadah tetapi penyempurnanya.
Pencen bukan bermaksud berhenti. Pencen ialah fasa baharu untuk memberi dengan lebih luas dan lebih ikhlas, tanpa tekanan jawatan atau kepentingan dunia.
Membantu masyarakat juga ibadah. Mengajar manusia juga ibadah. Menyebarkan manfaat juga ibadah.
Semua ini boleh dilakukan tanpa meninggalkan kelas agama atau kelas al-Quran. Bahkan, ilmu agama yang dipelajari itulah yang sepatutnya mengalir keluar, membentuk manusia dan menghidupkan masyarakat.
Di situlah keseimbangan sebenar apabila akhirat dipelihara, dunia tidak ditinggalkan; ibadah diteruskan, manfaat tidak dihentikan. Itulah ajaran sebenar Islam.
Islam mengajar bahawa ibadah bukan hanya hubungan vertikal dengan Allah, tetapi juga hubungan horizontal dengan sesama manusia.
Dari perspektif Maqasid al-Syariah:
1. Hifz al-Din (Pemeliharaan Agama)
Agama tidak terpelihara melalui pengasingan diri tetapi melalui penghayatan dan teladan hidup.
Islam berkembang kerana manusia yang menghidupkan nilai agama dalam masyarakat, bukan kerana mereka yang berdiam diri atas nama kesolehan peribadi.
Apabila golongan berpengalaman menarik diri, agama kehilangan wajah teladan: bagaimana bekerja dengan amanah, memimpin dengan adil dan beribadah sambil membina kehidupan.
Pemeliharaan agama menuntut kehadiran aktif dalam masyarakat, bukan pengunduran.
2. Hifz al-‘Aql (Pemeliharaan Akal dan Ilmu)
Akal dan ilmu dipelihara bukan dengan menyimpannya, tetapi dengan menggunakannya untuk manfaat manusia.
Ilmu yang tidak dimanfaatkan adalah ilmu yang mati. Apabila warga emas berhenti berkongsi pengalaman dan kebijaksanaan, masyarakat kehilangan sumber akal kolektif.
Generasi muda pula terpaksa belajar melalui kesilapan sendiri, sedangkan ada generasi sebelumnya yang telah lama melalui jalan tersebut.
Ini bertentangan dengan roh pemeliharaan akal dalam syariah. Perkongsian oleh warga emas juga memberi kesejahteraan mental kepada warga emas itu sendiri. Mengurangkan penyakit depresi, kemurungan serius.
3. Hifz al-Mal (Pemeliharaan Harta dan Nilai)
Dalam konteks moden, pengalaman, kemahiran dan kepakaran ialah modal insan tidak ketara yang sangat bernilai.
Membiarkan pengalaman ini terhenti selepas pencen adalah satu bentuk pembaziran sumber.
Islam menolak pembaziran dalam apa jua bentuk termasuk pembaziran ilmu dan pengalaman. Dari sudut maqasid, meminggirkan warga emas yang masih mampu menyumbang ialah kegagalan memelihara nilai ekonomi dan sosial yang sah.
4. Hifz al-Nasl (Kelangsungan Generasi)
Generasi tidak dibina hanya melalui sistem pendidikan formal. Ia terbina melalui pemindahan nilai, adab, etika dan hikmah hidup daripada generasi berpengalaman kepada yang muda.
Apabila generasi tua mengundur diri, generasi muda membesar tanpa pembimbing. Nilai digantikan oleh algoritma dan hikmah diganti oleh budaya segera.
Ini melemahkan kelangsungan generasi, satu perkara yang bercanggah dengan Maqasid Syariah.
5. Hifz al-Nafs (Pemeliharaan Jiwa dan Maruah)
Penglibatan bermakna memelihara jiwa dan maruah manusia. Pengasingan diri selepas pencen sering membawa kehilangan tujuan dan kesejahteraan diri.
Malaysia sedang menua
Persoalannya bukan berapa ramai warga emas yang kita miliki tetapi berapa ramai yang masih diberi ruang, kepercayaan dan peluang untuk menyumbang.
Jika pencen terus disalah tafsir sebagai pengakhiran peranan, kita bukan sekadar membazir potensi manusia, kita sedang mengkhianati amanah ilmu, pengalaman dan hikmah yang sepatutnya diwariskan kepada generasi seterusnya.
Dalam Islam, pencen hanya ada satu. Ia tidak bermula pada umur 60 dan tidak ditentukan oleh sistem atau jawatan. Sebaliknya ia bermula apabila kita meninggalkan dunia ini.
Oleh DR SYARYANTI HUSSIN & ZAHARI MAHAD MUSA

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







