32 tan sampah dibersihkan, namun rumah warga emas kembali dipenuhi barangan
JOHOR BAHRU – Usaha besar-besaran membersihkan sebuah rumah warga emas yang mengalami masalah suka mengumpul barangan terpakai atau ‘hoarder’ di sebuah taman perumahan di sini, pada Julai tahun lalu seolah-olah kembali menjadi tanda tanya.
Seorang penduduk, Hamzah Abd Hamid menerusi satu hantaran di media sosial meluahkan rasa terkejut selepas mendapati keadaan rumah tersebut dipercayai kembali dipenuhi barangan, walaupun kerja pembersihan telah dilaksanakan secara menyeluruh sebelum ini.

Menurut beliau, pada Julai 2025, kira-kira 50 sukarelawan daripada pelbagai persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa telah berganding bahu membersihkan rumah berkenaan.
“Sebanyak 32 tan sampah telah dikendalikan. Selama berbelas tahun, banyak laporan dan aduan dibuat oleh penduduk dan masyarakat sekeliling yang prihatin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Isu berkenaan bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan kepada jiran tetangga, malah membangkitkan kebimbangan serius terhadap risiko keselamatan termasuk bahaya kebakaran dan ancaman kesihatan awam.
Malah, lokasi rumah itu juga didakwa diyakini sebagai ‘hotspot’ serta berpotensi menjadi punca penularan denggi di kawasan tersebut.
Hamzah berkata, kerja pembersihan ketika itu dilaksanakan dengan baik dan keadaan rumah dilihat kembali ‘clear’ berdasarkan gambar yang dikongsikan oleh seorang ahli majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru.
Difahamkan, keluarga penghuni warga emas tersebut turut dihubungi bagi memujuknya untuk didaftarkan ke rumah penjagaan orang tua, namun perkembangan lanjut mengenainya tidak diketahui.
Bagaimanapun, situasi terbaharu yang dirakam Hamzah semalam mencetuskan persoalan apabila keadaan rumah itu dilihat kembali berubah.
“Saya terkejut. Apa sudah jadi?” soalnya.
Beliau berharap perkara tersebut sedang dalam perhatian pihak berkaitan dan dapat ditangani dengan sebaiknya demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








