BERITA SEMASALUAR NEGARA

Yaman batal perjanjian keselamatan dengan UAE, isytihar darurat

SANAA – Ketua Majlis Kepimpinan Presiden Yaman, Rashad al-Alimi, mengisytiharkan keadaan darurat selama 90 hari serta membatalkan perjanjian keselamatan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan tindakan kumpulan pemisah yang disokong Abu Dhabi merampas kawasan luas di selatan negara itu.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Selasa, Alimi mengumumkan pembatalan Perjanjian Pertahanan Bersama dengan UAE, selain menguatkuasakan dekri berasingan yang mengenakan sekatan pergerakan udara, laut dan darat selama 72 jam.

Keputusan itu dibuat susulan pengumuman gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi yang memaklumkan mereka melancarkan serangan terhadap penghantaran senjata dari UAE, yang didakwa bertujuan membekalkan kumpulan pemisah terbabit.

Sementara itu, Pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE dilaporkan melancarkan operasi ketenteraan berskala besar sepanjang bulan ini, sekali gus menguasai sebahagian besar wilayah Hadramawt yang kaya dengan sumber asli, selain kawasan luas di wilayah Mahrah.

Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen, Alimi mengarahkan STC menyerahkan semula kawasan yang dirampas kepada pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi, sambil menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai satu “pemberontakan yang tidak boleh diterima”.

Perkembangan tersebut dilihat meningkatkan risiko perpecahan lebih besar dalam kerajaan Yemen yang sedia rapuh, khususnya apabila pelbagai puak bersenjata menerima sokongan daripada kuasa Teluk yang berbeza, termasuk Arab Saudi dan UAE.

Ketegangan terbaharu itu turut mengancam usaha rundingan damai dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran yang menawan ibu kota Sanaa pada 2014 dan mencetuskan campur tangan ketenteraan oleh gabungan pimpinan Arab Saudi.

Pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa konflik antara sekutu sendiri dalam kalangan negara Teluk berpotensi memanjangkan lagi peperangan di Yaman yang telah berlarutan lebih sedekad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button