Berita Semasa

Jenazah Johari Harun selamat dikebumikan

GOMBAK – Jenazah Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, di sini, 12.05 tengahari tadi.

Jenazah bersama 9 lagi mangsa dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dimandi dan disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang pada pukul 9.45 pagi tadi.

Jenazah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang itu tiba di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa kira-kira pukul 11. 50 pagi diiringi unit trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Urusan pengebumian bekas Adun Pelangai yang dihadiri ahli keluarga dan kira-kira 500 kenalan itu selesai pada pukul 12.15 tengahari.

Antara yang hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Ketua Polis Negera, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Panglima 4 Div Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Anuar Abdul Wahab.

Ahmad Zahid Hamidi hadir pada pengebumian bekas Adun Pelangai, Johari Harun di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, di sini.

Johari Harun, 53, merupakan antara 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Sementara itu, anak Allahyarham, Muhammad Hafiz Naqiudin, 22, menyifatkan arwah seorang yang suka menderma dan amat mementingkan pendidikan agama kepada anak-anak.

“Ayah juga seorang yang begitu mudah didekati oleh rakyat sepanjang berkecipung dalam politik,” katanya kepada pemberita selepas membacakan talkin pengebumian.

Muhammad Hafiz Takiyudin

Muhammad Hafiz juga berterima kasih kepada semua pihak yang membolehkan urusan pengebumian dilakukan dengan cepat.

“Alhamdulillah, syukur kerana inilah yang kami doakan supaya arwah dapat dikebumikan dengan segera.

“Sama-samalah kita doakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diberikan ganjaran yang setimbal,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button