Amyza sifatkan kehilangan anak ujian paling berat dalam hidup
HULU KELANG – Ramadan kali ini meninggalkan luka paling dalam buat pelakon Amyza Aznan apabila diuji dengan pemergian anak sulungnya akibat penyakit kanser manakala anak keduanya yang turut mengidap penyakit yang sama.
Menurut Amyza, sepanjang 50 tahun kehidupannya, inilah ujian paling berat yang pernah ditanggung sebagai seorang ibu.
“Terlalu perit. Tahun lalu, hanya Andre disahkan kanser. Tahun ini, Adrian pula (disahkan mengidap kanser) dan dalam masa sama Andre pergi meninggalkan saya.
“Sebagai ibu, dugaan ini memang terlalu berat dan sangat menyakitkan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pengebumian anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Idzhar di Tanah Perkubura Islam Ukay Perdana, di sini.
Pelakon drama Trilogi Cinta itu turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Andre ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.
Menurutnya, Andre meninggal dunia ketika dia pulang sebentar ke rumah untuk membersihkan diri.
“Sebaik selesai mandi, saya terima panggilan memaklumkan paras oksigennya menurun.
“Sudah tentu sebagai ibu saya mahu berada di situ, namun tidak kesampaian,” memetik laporan Kosmo! Online.
Bagaimanapun, Amyza bersyukur segala urusan pengebumian anaknya dipermudahkan dan menerima kehadiran ramai yang memberi penghormatan terakhir.

“Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar. Saya anggap ini rezeki Andre. Doa dan sokongan datang dari pelbagai sudut,” katanya.
Dalam pada itu, Amyza percaya arwah seolah-olah memahami perasaannya yang terlalu bergantung kepadanya memandangkan hubungan mereka sangat rapat.
“Mungkin dia tahu saya terlalu bergantung padanya. Kami hampir 24 jam bersama.
“Barangkali dia tidak mahu saya menyaksikan detik itu kerana bimbang saya tidak kuat menerima kenyataan,” jelasnya.
Terdahulu, jenazah Andre selamat dikebumikan pada pukul 10.45 pagi selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah Keramat AU3.
Rakan artis yang hadir antaranya Didie Alias, Ieda Moin, Datin Seri Umie Aida, Datuk Fauziah Nawi, Lisdawati, Norman Hakim, Memey Suhaiza, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi dan Ellie Suriaty.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.15 malam tadi di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.
Februari tahun lalu, Amyza mendedahkan berita penyakit anak sulungnya itu yang mengejutkan ramai dan mengundang simpati masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








