Bung Moktar selamat dikebumi, lebih 1,000 hadir beri penghormatan terakhir
KOTA KINABALU – Suasana pilu menyelimuti Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas di sini, apabila lebih 1,000 orang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 2.10 petang selepas disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada pukul 1.45 tengah hari, memetik laporan Metro Online.
Kehadiran orang ramai termasuk ahli keluarga, sahabat terdekat, pemimpin politik dan rakyat biasa jelas menunjukkan betapa besar kehilangan pemimpin yang selama lebih 20 tahun mewakili kawasan Kinabatangan itu.

Antara yang hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa menteri kabinet serta pemimpin politik negeri.
Suasana menjadi pilu apabila ramai yang tidak dapat menahan rasa kehilangan terhadap Allahyarham.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta pada pukul 1.46 pagi tadi selepas dirawat akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan paru-paru, menurut laporan media.
Bung Moktar dikenang sebagai seorang pemimpin lantang, berani bersuara dan sentiasa dekat dengan rakyat khususnya komuniti di Kinabatangan.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai kehilangan besar bagi dunia politik Sabah, meninggalkan legasi kepimpinan yang dikenang ramai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








