Jenazah ibu Hamzah Zainudin selamat dikebumi
PETALING JAYA – Jenazah ibu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang, di sini semalam.
Hamzah memaklumkan urusan pengebumian ibunya, Allahyarhamah Mariam Kassim, 90, telah disempurnakan sambil menzahirkan kesyukuran atas segala ketentuan Allah SWT.
“Alhamdulillah, urusan pengebumian bonda saya telah sempurna. Segala puji bagi Allah atas segala ketentuan dan aturan-Nya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN) itu berkata, pemergian ibunya semalam adalah kehilangan besar dalam hidupnya.
“Perginya insan yang telah melahirkan, membesarkan dan mendidik saya berserta enam adik-beradik lain dengan penuh kasih sayang.
“Sesungguhnya, kehilangan seorang ibu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diungkapkan dengan kata-kata, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir, membantu dan memudahkan segala urusan.
“Buat yang mengirimkan doa serta ucapan takziah dari dekat mahupun jauh, saya dan keluarga amat menghargainya.
“Semoga setiap kebaikan, doa dan bantuan yang diberikan dibalas Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran,” katanya.
Beliau turut mendoakan moga Allah mengampuni dosa ibunya, merahmati roh arwah, melapangkan kuburnya dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beroleh syurga.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian ibu Ahli Parlimen Larut itu.
“Salam takziah buat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin atas pemergian ibu tercinta, Allahyarhamah Hajah Mariam Kassim.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








