Bekalan daging negara dijangka terus mencukupi tahun depan – Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR – Bekalan daging di negara ini dijangka terus mencukupi pada tahun hadapan, termasuk ketika permintaan meningkat sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.
Dalam kenyataan, beliau manzahirkan rasa syukur memandangkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, bekalan daging sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat, termasuk ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
“Bang Mat bersyukur, dalam tempoh tiga tahun ini, bekalan daging negara sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat termasuk ketika permintaan memuncak pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, umat Islam dijangka menyambut Ramadan pada Februari 2026, manakala Aidilfitri bakal menjelang pada penghujung Mac 2026.
Menurut Mohamad, persiapan bekalan daging telah dimulakan sejak sekarang oleh penternak-penternak tempatan.
Dengan perancangan awal, kerjasama erat bersama penternak, dan sokongan dasar yang betul, bekalan daging untuk rakyat tahun hadapan dijangka terus terjamin.
“Insya-Allah, keperluan asas rakyat akan kita dijaga, dan keselamatan makanan negara akan terus dipelihara,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








