Krisis rumah tangga: Suami isteri disaran rujuk saluran sah, bukan ‘Coach cerai’
KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang berdepan krisis rumah tangga dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan melalui saluran sah dan berautoriti, bukannya terpengaruh dengan perkhidmatan yang dilihat boleh mengelirukan masyarakat serta menormalisasikan perceraian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan, kerajaan memandang serius kemuliaan dan kedudukan tinggi institusi perkahwinan dalam Islam yang perlu ditangani secara beretika, bertanggungjawab dan berlandaskan syariah.
Menurut beliau, kewujudan serta promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti “Coach Cerai” telah mencetuskan perhatian dan kebimbangan awam kerana berpotensi menimbulkan salah faham terhadap pendekatan sebenar Islam dalam mengurus konflik rumah tangga.
“Perkahwinan merupakan satu amanah agama yang besar implikasinya terhadap kesejahteraan emosi, sosial dan spiritual pasangan serta anak-anak.
“Sebarang usaha yang secara langsung atau tidak langsung memudahkan perceraian tanpa melalui proses islah, nasihat dan rundingan yang tersusun berisiko meremehkan nilai kesabaran dan tanggungjawab yang dituntut dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, penyelesaian konflik rumah tangga seharusnya dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan syariah, termasuk melalui nasihat, pelantikan orang tengah daripada kedua-dua keluarga serta bimbingan kaunseling oleh pihak berautoriti sebelum sebarang keputusan dibuat.
Dalam hal ini, katanya, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri menyediakan khidmat runding cara dan nasihat menerusi kaunselor bertauliah serta Pegawai Hal Ehwal Islam, yang boleh diperoleh di Pejabat Agama Islam Negeri dan Mahkamah Rendah Syariah.
Selain itu, Dr Zulkifli memaklumkan, agensi di bawah portfolio beliau termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menyediakan inisiatif seperti KSKCareCentre (KSKCC) yang menawarkan khidmat kaunseling berstruktur, profesional dan berpaksikan pendekatan syariah bagi membantu pasangan mengenal pasti punca konflik.
“JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga menyediakan Kursus Pascaperkahwinan Islam sebagai platform bimbingan berterusan untuk mengukuhkan kefahaman terhadap tanggungjawab dan hikmah perkahwinan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menggunakan istilah serta pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam masyarakat.
“Perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas. Pasangan yang berdepan krisis perlu digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran sah, di samping menghormati proses undang-undang, menjaga adab serta mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan maruah individu dan keharmonian masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan melalui Agensi Hal Ehwal Agama akan terus komited memperkukuh program pendidikan keluarga, kaunseling dan advokasi kekeluargaan selaras dengan prinsip Maqasid Syariah serta aspirasi Malaysia MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















