Polis tahan lelaki bantu siasatan susulan penemuan jasad wanita dalam beg yang ditanam
SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan susulan penemuan jasad wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah dekat Kampung Batu 4, Pedas, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di Melaka, petang semalam.
“Susulan penemuan jasad wanita di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni dekat Pedas, semalam, pihak kami menggerakkan pasukan untuk mengesan suspek.
“Hasil risikan dan siasatan yang dijalankan, kami berjaya mengesan suspek di satu lokasi di Melaka sebelum menahannya kurang 12 jam daripada penemuan mayat berkenaan,” katanya, hari ini.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin, Tampin, pagi tadi untuk permohonan reman.
“Majistret membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Disember depan bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Tambahnya, bedah siasat ke atas jasad tersebut dibuat pagi tadi di Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi mengenalpasti identiti mangsa dan punca kematian.
“Buat masa ini pihak kami menunggu laporan bedah siasat dan pengecaman daripada ahli keluarga sebelum menjalankan siasatan lanjut mengenai kaitan suspek dengan mangsa.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya lagi.
Laporan media semalam menyebut mengenai penemuan jasad seorang wanita di dalam sebuah beg yang percaya ditanam di belakang sebuah rumah.
Turut difahamkan, jasad tersebut mempunyai kaitan dengan insiden kehilangan seorang wanita sejak 8 Dis lalu di Ampang, Selangor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






