BERITA SEMASA

Ulang tahun kedua KESUMA, Steven Sim bangga martabat pekerja diperkasa

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menyifatkan tempoh dua tahun memimpin kementerian itu sebagai pengalaman yang amat bermakna dengan pelbagai pencapaian yang membanggakan.

Steven berkata, beliau berasa bertuah dan bangga diberi peluang menyumbang kudrat untuk meningkatkan martabat pekerja di negara ini.

“Kami bukan 100 peratus sempurna, tetapi pasukan KESUMA telah bekerja keras sepanjang dua tahun memastikan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja terus meningkat,” katanya dalam satu hantaran di laman X hari ini.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sepanjang dua tahun, termasuk menaikkan gaji minimum kepada RM1700, melaksanakan dasar gaji progresif yang memberi manfaat kepada lebih 32,000 pekerja serta memperkukuh hak pekerja melalui penguatkuasaan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).

Selain itu katanya, reformasi TVET, pelaksanaan Skim Lindung 24 jam PERKESO dan RUU Pekerja Gig menjadi fokus utama untuk memastikan pekerja tempatan dan migran mendapat perlindungan dan peluang meningkatkan kemahiran.

“Semua pencapaian ini adalah hasil kerjasama pasukan KESUMA dan pemegang taruh kami.

“Tanpa usaha bersama, misi memartabatkan pekerja tidak akan tercapai,” katanya lagi.

Steven menganggap pengalaman dua tahun itu sebagai perjalanan pembelajaran dan motivasi untuk terus memperkukuh polisi pekerja di negara ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button