Kemboja akhirnya mengaku serang balas, Hun Sen arah tentera bertindak tegas
PHNOM PENH – Ketegangan baharu di sempadan Kemboja–Thailand semakin memuncak apabila bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, mengesahkan tenteranya membalas serangan dalam pertempuran terbaharu, sekali gus bercanggah dengan penafian rasmi Phnom Penh sebelum ini.
Dalam kenyataan di Facebook, Presiden Senat itu menjelaskan bahawa Kemboja tidak melepaskan tembakan lebih 24 jam bagi menghormati gencatan senjata serta memberi ruang untuk pemindahan penduduk, namun akhirnya bertindak selepas serangan berterusan.
“Selepas bersabar lebih 24 jam untuk menghormati gencatan senjata dan memberi ruang pemindahan penduduk, malam tadi kami membalas… dan juga pagi ini,” katanya sambil mengarahkan tenteranya bertindak tegas.
Hun Sen menegaskan bahawa langkah itu dianggap tindakan mempertahankan diri dan mengarahkan pasukan keselamatan bertempur di semua lokasi yang diserang musuh dan melaksanakan strategi bagi memusnahkan kekuatan musuh.
Konflik yang tercetus selama lima hari sebelum gencatan senjata dicapai meragut 43 nyawa serta memaksa kira-kira 300,000 penduduk di kedua-dua belah sempadan dipindahkan.
Namun pertempuran kembali meletus minggu ini, mengorbankan enam orang awam Kemboja dan seorang tentera Thailand, selain mencederakan lebih 20 yang lain.
Phnom Penh dan Bangkok kini saling menyalahkan pihak lawan atas tercetusnya pertempuran baharu itu.
Thailand sebelum ini dituduh melancarkan serangan udara dan menggunakan kereta kebal terhadap Kemboja pada Isnin.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, sebelum ini mendakwa tenteranya tidak melakukan sebarang serangan balas, satu kenyataan yang kini bercanggah dengan pengakuan Hun Sen.
Perkembangan terbaharu itu dijangka dipantau rapat negara ASEAN dan komuniti antarabangsa berikutan risiko ketegangan serantau yang semakin meningkat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








