SUKAN

Speedy Tigers benam Thailand 8-0, pertahan emas hoki lelaki Sukan SEA

CHONBURI – Pasukan hoki lelaki negara, Speedy Tigers, menampilkan aksi bertenaga apabila membelasah tuan rumah Thailand 8-0 untuk mempertahankan pingat emas pada perlawanan akhir Sukan SEA 2025 di Universiti Sukan Nasional Thailand, di sini hari ini.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan Malaysia terus mengukuhkan dominasi dalam acara hoki lelaki apabila meraih emas ke-18 sejak penampilan sulung temasya berkenaan pada edisi Kuala Lumpur 1971.

Amanraj Singh muncul wira perlawanan apabila meledak hatrik pada minit ke-55, 57 dan 60, sekali gus mematikan sisa kebangkitan Thailand yang jelas tertekan dengan asakan berterusan skuad negara.

Sebelum itu, Muhajir Abdu Rauf membuka jaringan pada minit ke-15, diikuti Faiz Jali Helmi (27) dan Nik Aiman Nik Rozemi (28) yang menambah dua gol pantas sebelum tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Fitri Saari meledak gol keenam pada minit ke-42, manakala Alfrico Liau melengkapkan pesta jaringan dengan gol ketujuh pada minit ke-50.

Penyerang negara, Azrai Aizad Abu Kamal pula menamatkan kempen sebagai penjaring terbanyak Malaysia dengan 15 gol sepanjang enam perlawanan.

Ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh menzahirkan kepuasan terhadap prestasi pemain yang menurutnya konsisten sepanjang kejohanan.

“Keutamaan kami adalah memenangi emas hoki lelaki dan sasaran itu berjaya dicapai.

“Pemain beraksi dengan baik sepanjang kejohanan dan hari ini mereka cukup klinikal dalam memanfaatkan peluang,” memetik laporan NST.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas sokongan berterusan terhadap pasukan kebangsaan.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan status Malaysia sebagai kuasa besar hoki Asia Tenggara serta suntikan moral penting menjelang kejohanan antarabangsa akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button