
MOSTI perkukuh kefahaman awam terhadap teknologi nuklear
KAJANG – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkukuh usaha meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap teknologi nuklear menerusi penganjuran Program Media Showcase di Agensi Nuklear Malaysia, di sini, semalam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap bidang nuklear masih rendah walaupun Malaysia telah lama membangunkan kepakaran dalam teknologi tersebut.
“Ini adalah satu fakta. Kebanyakan orang tidak sedar, malah mungkin tidak mengenali kewujudan Agensi Nuklear Malaysia.

“Program seperti ini penting untuk kita tampilkan kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki dalam mengendalikan reaktor penyelidikan dan teknologi berkaitan,” katanya selepas program semalam.
Beliau berkata, penglibatan media amat penting bagi menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat bagi mengelakkan salah faham terhadap teknologi nuklear.

“Pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) menjadi kerangka strategik negara dalam membangunkan ekosistem teknologi nuklear secara mampan.
“Dasar ini memberi tumpuan kepada enam bidang utama termasuk perubatan, makanan, pertanian, pembuatan peralatan, pengurusan sumber asli serta aspek keselamatan nuklear,” katanya lagi.

Mengulas inisiatif di bawah dasar itu, Lih Kang berkata, pembangunan Hab Pengeluaran Radioisotop dan Radiofarmaseutikal akan membolehkan negara menghasilkan bahan diagnostik serta rawatan perubatan secara kendiri.
“Teknologi tenaga nuklear turut dikenal pasti sebagai antara pilihan strategik untuk mencapai Aspirasi Rendah Karbon 2040 dan sasaran Pelepasan Sifar Bersih 2050 bagi memastikan bekalan tenaga stabil, bersih dan berdaya saing,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








