LUAR NEGARA

Iran beri amaran pencemaran radioaktif jika fasiliti nuklear terus diserang

TEHRAN – Iran memberi amaran bahawa serangan berterusan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap fasiliti nuklearnya berpotensi mencetuskan pencemaran radioaktif rentas sempadan yang membahayakan rantau sekitar.

Menteri Luar, Abbas Araqchi dalam surat rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh Selasa, menegaskan beberapa kemudahan nuklear termasuk Loji Janakuasa Nuklear Bushehr yang digunakan bagi tujuan aman telah menjadi sasaran serangan.

Menurut beliau, tindakan itu berisiko tinggi menyebabkan kebocoran radiasi yang boleh menjejaskan kesihatan manusia serta alam sekitar, termasuk kawasan strategik seperti Teluk Parsi.

Dalam pada itu, Araqchi menyifatkan serangan berulang berhampiran loji aktif Bushehr sebagai amat membimbangkan, selain mendakwa Iran telah berdepan dua ‘perang pencerobohan’ dalam tempoh sembilan bulan lalu.

Beliau turut mengkritik kegagalan Majlis Keselamatan PBB dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa untuk mengutuk tindakan tersebut atau mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Surat itu turut menyenaraikan beberapa siri serangan sejak 1 Mac lalu, termasuk dua serangan ke atas kemudahan nuklear Natanz, selain insiden berhampiran Bushehr dan pengeboman lokasi lain di Natanz pada 21 Mac.

Iran menegaskan serangan berkenaan melanggar resolusi antarabangsa serta prinsip undang-undang kemanusiaan, sambil menekankan bahawa fasiliti nuklear awam perlu dilindungi sepenuhnya daripada sebarang tindakan ketenteraan.

Dalam perkembangan sama, Tehran turut menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan Ketua Pengarah IAEA, Rafael Mariano Grossi, yang didakwa mendedahkan maklumat sensitif serta menyentuh kemungkinan penggunaan senjata nuklear, sekali gus berpotensi menjejaskan kepercayaan terhadap sistem kawal selia antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button