Suami isteri ditemukan lemas dalam kereta terjunam ke Sungai Rompin
ROMPIN – Pasangan suami isteri yang hilang selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Rompin semalam, ditemukan lemas hari ini.
Jasad pasangan berkenaan ditemukan terperangkap dalam kenderaan itu di dasar sungai kira-kira 60m dari lokasi kejadian berhampiran Kampung Rantau Panjang, Leban Chondong, Kuala Rompin..
Menurut Ketua Polis Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, jasad Mohd Zairil Bidin, 40, dan isterinya, Aisyah Shafie, 55 dari Felda Keratong 3, Bandar Tun Razak ditemukan dalam kereta jenis Perodua Myvi kira-kira pukul 2.50 petang.
Terdahulu, katanya, operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kedua itu berjaya menemukan kereta itu pukul 11 pagi di dasar Sungai Rompin.
“Kenderaan itu berjaya dinaikkan pada 2.50 petang dengan bantuan kren sebelum jasad kedua mangsa dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.
“Kertas siasatan kes orang hilang telah diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam itu, Mohd Zairil dan isteri, Aisyah dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke Sungai Rompin lalu tenggelam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








