SPRM tahan tiga individu termasuk Shamsul Iskandar, Albert Tei dan Sofia Rini
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu bagi membantu siasatan dakwaan rasuah melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai berkepentingan awam dan disiasat segera bagi mengelakkan sebarang manipulasi.
Menurutnya, tiga individu yang ditahan ialah Shamsul Iskandar; ahli perniagaan Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing; serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong.
“Sofia Rini ditahan pada 27 November 2025, kira-kira jam 10.30 malam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mahkamah Majistret Putrajaya melalui Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin kemudian membenarkan wanita itu direman selama empat hari sehingga 1 Disember 2025.
Sementara itu, Albert Tei yang pada awalnya dijadual hadir memberi keterangan pada 1 Disember, dimaklumkan supaya hadir lebih awal tetapi enggan berbuat demikian dan tidak memberi kerjasama sebelum ditahan di rumahnya pada jam 10.15 pagi, hari ini.
“Albert Tei merupakan individu paling penting dalam membantu siasatan kes ini.
“SPRM turut mengeluarkan Notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah yang memberi kuasa menafikan hak suspek untuk menghubungi peguam atau mana-mana pihak lain dalam keadaan tertentu,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Shamsul Iskandar hadir memberikan keterangan kira-kira jam 12 tengah hari sebelum ditahan pada jam 12.51 tengah hari di Pejabat SPRM.
SPRM dijangka membuat permohonan reman terhadap Shamsul Iskandar dan Albert Tei di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi esok.
Tan Sri Azam turut berkata, siasatan akan dilaksanakan secara profesional, telus dan mengikut lunas undang-undang.
“Mana-mana pihak yang ingin mempertikai tindakan ini mempunyai hak berbuat demikian di mahkamah.
“Saya juga telah mengarahkan pegawai penyiasat melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








