Sofia Rini mengaku tidak bersalah fitnah Farhash
KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan muflis, Sofia Rini Buyong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan memfitnah ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Pengakuan itu dibuat oleh Sofia Rini, 50, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menuturkan kenyataan bahawa Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri telah mencuri wang dan menghantarnya ke luar negara termasuk Turkiye dan Afrika.
Kenyataan itu didakwa dibuat menerusi satu rakaman video di ibu negara pada jam 6.30 petang, 26 April lalu dengan niat serta kepercayaan bahawa ia boleh menjejaskan reputasi mangsa.
Berikutan itu, Sofia Rini didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Nordin Ismail bersama Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam Shugan Raman.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun pihak pembelaan memohon jumlah tersebut dikurangkan atas faktor kesihatan dan kedudukan kewangan tertuduh.
Menurut Shugan, anak guamnya yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak kini tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas diisytiharkan bankrap serta turut berada di bawah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM10,000.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Sofia Rini diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








