‘Dakwaan bawa ajaran sesat satu fitnah’ – Ustaz Mohib Khouli
Akan ambil tindakan undang-undang, saman
CYBERJAYA – Lelaki dikenali sebagai Ustaz Mohib Khouli hari ini muncul sambil berkata akan menggunakan saluran undang-undang bagi membersihkan namanya yang dikaitkan dengan penyebaran ajaran sesat.
Dalam video Youtube yang berdurasi kira-kira 45 minit itu, Ustaz Mohib berkata, beliau percaya dakwaan yang dikeluarkan itu merupakan satu fitnah besar dengan cubaan menjatuhkan maruahnya.
“Saya amat terkejut dengan tindakan sebuah majlis agama negeri yang mengeluarkan fatwa saya bawa ajaran sesat.
“Ini satu fitnah yang amat besar,” kata Ustaz Mohib dalam video tersebut.
Beliau berkata, ajaran yang dibawanya tidak lari dari al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. sambil berkongsikan judul kitab yang diajarnya.
“Apa yang saya ajar? Saya ajar dari kitab sunnah Imam Abdullah, anak Imam Ahmad ibn Hambal.
“Semua hadis dalam kitab ini ada dalam Sahih Bukhari, Musnad Imam Ahmad dan selainnya. Saya tak lari daripada kitab al-sunnah,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, tindakan Jawatankuasa Fatwa negeri Terengganu mengeluarkan fatwa tersebut tanpa merujuk dahulu kepadanya sebelum keputusan dibuat, amat mengecewakan.
“Bagi saya, ini satu fitnah yang amat besar, (dan) satu cubaan untuk menjatuhkan maruah saya.
“Saya takkan berdiam (dan) akan menggunakan saluran undang-undang (bagi membersihkan nama saya),” katanya lagi.
Semalam, Jawatankuasa Fatwa negeri Terengganu telah memutuskan bahawa ajaran yang dibawa oleh Mohib Khouli adalah sesat.
Menerusi warta kerajaan yang diterbitkan semalam, ketetapan itu dibuat Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali ke-15 pada 30 Ogos lalu yang menetapkan ajaran itu sebagai bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








