JENAYAH & MAHKAMAH

Penjawat awam ditahan rakam video wanita tanpa kebenaran

Pemeriksaan lanjut temukan video, gambar lucah dalam telefon bimbit suspek

TEMERLOH – Polis mengesahkan seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki merakam video seorang wanita tanpa kebenaran di Pekan Sehari Temerloh, di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, mangsa yang berusia 33 tahun menyedari perbuatan suspek sebelum lelaki itu ditahan dengan bantuan pengunjung pekan sehari.

Tambahnya, polis bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan dan melakukan penahanan semula ke atas suspek dan merampas telefon bimbit miliknya.

“Pemeriksaan kemudian menemukan sejumlah video mangsa yang dirakam secara curi dalam galeri telefon bimbit, selain sejumlah video dan gambar lucah.

“Siasatan termasuk analisis kandungan telefon bimbit lelaki terbabit sedang dilakukan, dengan suspek ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan, manakala kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang.

Terdahulu, video penahanan suspek, 41, yang bekerja sebagai kerani itu yang dikatakan berlaku pada 9 November lalu, turut menjadi tular di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button