Jawapan tidak profesional pengurus HR kepada calon pekerja dikecam netizen
KUALA LUMPUR – Tindakan tidak profesional seorang pengurus bahagian sumber manusia sebuah syarikat terhadap seorang calon yang menolak tawaran kerja secara berhemah mendapat kecaman netizen.
Perkara itu tercetus apabila seorang pengguna media sosial berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp dengan pengurus tersebut di aplikasi Threads yang memberi jawapan mengejutkan.
Calon berkenaan memaklumkan dia terpaksa menolak tawaran daripada pengurus berkenaan kerana telah menerima satu lagi tawaran lain atas faktor pilihan kerjaya jangka panjang.
Namun, jawapan yang diterimanya amat mengejutkan.
“Emm thx for wasting everyone’s time (Emm terima kasih kerana membazirkan masa semua orang),” tulis pengurus tersebut.
Terkejut dengan respons itu, calon berkenaan menulis di ruangan komen bahawa majikan atau pihak HR tidak seharusnya bercakap dengan calon kerja sebegitu.
“Cukuplah membalas dengan sopan, walaupun anda rasa calon itu telah membuang masa anda. Itu sebahagian daripada proses pengambilan pekerja,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tujuannya berkongsi perbualan tersebut bukanlah untuk memburukkan syarikat terbabit sebaliknya menegaskan bahawa calon mempunyai hak untuk meneliti surat tawaran dan membuat keputusan sama ada mahu menerima atau menolak.
“Proses itu mengambil masa, mungkin sekitar seminggu, lebih-lebih lagi dalam kes saya yang menerima beberapa tawaran daripada syarikat berbeza,” jelasnya.
Kisah itu menarik pelbagai reaksi warganet yang rata-rata berpendapat respons majikan tersebut sangat tidak profesional malah ada yang menyifatkan calon berkenaan telah membuat keputusan yang ‘tepat’.
“Bro, awak patut balas – terima kasih kerana mengesahkan lagi keputusan saya untuk bekerja di tempat lain,” komen seorang pengguna, @drezranrasli.
Ada juga yang merasakan calon tersebut sebenarnya telah terselamat daripada majikan yang bersifat toksik.
“Awak berjaya elak daripada situasi yang merugikan itu,” kata pengguna lain, @claudiofresta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








