BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Inovasi ATM pacu kesiapsiagaan pertahanan negara, hasilkan penjimatan besar untuk kerajaan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan kekuatan sebenar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sekadar terletak pada kecekapan strateginya di medan pertahanan, tetapi berpaksikan kepada nilai integriti dan inovasi yang menjadi teras kemajuan serta kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedua-dua elemen itu perlu bergerak seiring dalam memperkukuh kredibiliti kementerian sekali gus memastikan Malaysia kekal berdaya tahan di bawah aspirasi Malaysia MADANI.

“Integriti bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada pembinaan masyarakat yang maju dan
bertamadun. Ia menjadi benteng daripada ketirisan, pecah amanah dan salah guna kuasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan 2025 di Wisma Pertahanan di sini, semalam.

Baca juga : MINDEF tubuh Jawatankuasa Penapisan Perolehan pastikan integriti urus tadbir

Mohamed Khaled menjelaskan, tanggungjawab kementerian bukan sekadar menguruskan perolehan dan program kolaborasi industri bernilai berbilion ringgit, tetapi juga memikul amanah besar dalam menjaga keselamatan, kedaulatan negara serta kebajikan anggota tentera.

Beliau menegaskan, nilai integriti menjadi roh dan jiwa kepada Malaysia MADANI kerana
daripadanya lahir keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan sistem pertahanan negara.

“Kecekapan tanpa integriti boleh disalahgunakan untuk kepentingan diri. Tetapi dengan integriti, wujud perasaan segan untuk menyeleweng dan rasa hormat terhadap keunggulan organisasi,” ujarnya.

Kementerian juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan program literasi dan pendidikan integriti bagi menyemai budaya amanah dan tanggungjawab dalam kalangan warga pertahanan.

Dalam aspek inovasi, Mohamed Khaled berkata budaya inovasi yang diterapkan berasaskan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial telah membuahkan hasil membanggakan apabila warga MINDEF berjaya meraih enam pingat emas, tiga perak dan dua gangsa dalam pertandingan inovasi antarabangsa di Korea Selatan dan Indonesia.

Beliau turut memuji kejayaan warga kementerian yang berjaya menghasilkan 10 ciptaan baharu yang kini dalam proses permohonan paten di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), iaitu satu pencapaian pertama dalam sejarah inovasi MINDEF.

“Inovasi ini bukan sahaja menyerlah di peringkat global melalui DSA 2024 dan LIMA 2025, tetapi juga menjimatkan jutaan ringgit kos kerajaan serta meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara,” katanya.

Antara kejayaan yang menjadi bukti nyata ialah inovasi yang dihasilkan oleh tiga pasukan ATM menerusi Pertandingan Kumpulan Inovasi dan Kreatif Kementerian Pertahanan 2025, melibatkan cabang darat, laut dan udara.

Inovasi
Mejar Mohd Khairil Asyraf Matan TUDM menunjukkan sistem Air Intake Screen Modification (AIS MOD) pada Sambutan Hari Integriti dan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan Tahun 2025 di Wisma Pertahanan. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), projek Air Intake Screen Modification (AIS MOD) bagi pesawat Sukhoi Su-30MKM terbukti mampu mengelakkan kerosakan enjin akibat Foreign Object Damage (FOD) yang sebelum ini menjadi isu utama.

Pegawai Staf 2 Sistem Group A5 (PS 2 Sis Gp A5 (Sukhoi)) Markas Pemerintahan Bantuan Udara, Mejar Mohd Khairil Asyraf Matan TUDM berkata, sistem baharu itu menunda masa pembukaan dan mempercepatkan penutupan skrin udara bagi menghalang objek seperti batu dan burung daripada masuk ke dalam enjin.

Projek itu bermula pada 2021 namun tertangguh akibat sekatan geopolitik antara Rusia dan Ukraine, sebelum siap sepenuhnya pada 2023 dan kini digunakan pada semua pesawat Su-30MKM.

Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula tampil dengan ciptaan Mobile Comint, sebuah alat komunikasi yang membolehkan pemantauan perbualan sasaran tanpa dikesan pihak lawan.

Inovasi
Pegawai Waran (PW) I Komunikasi, Mohd Fardaus Baharom dari Cawangan Peperangan Elektronik TLDM Lumut, memberi penerangan berhubung alat Mobile Comint.

Pegawai Waran (PW) I Komunikasi, Mohd Fardaus Baharom dari Cawangan Peperangan Elektronik Lumut berkata, alat tersebut dibangunkan dengan kos bawah RM40,000, berbanding sistem asal bernilai jutaan ringgit.

“Biasanya, peralatan komunikasi di kapal berharga sehingga RM2 juta. Dengan inovasi ini, kita dapat hasilkan sistem sama fungsi pada kos jauh lebih rendah,” katanya yang mengetuai pasukan lima anggota.

Alat itu dibangunkan sejak 2023 dengan pelbagai ujian lapangan di tengah laut bagi memastikan kejelasan transmisi dan keupayaan operasi sebenar.

Inovasi
Mejar Ir Ts Nazrun Nabil Azlan (tiga dari kiri) mengetuai penciptaan Free Energy Water Pump 2.0, pam air bertenaga solar yang direka untuk digunakan di kawasan operasi darat yang sukar mendapat bekalan air. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam pada itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Mejar Ir. Ts. Nazrun Nabil Azlan Shah dari Rejimen Keempat Kor Armor Diraja, Kem Penrissen, Kuching, membangunkan Free Energy Water Pump 2.0, pam air bertenaga solar tanpa kebergantungan kepada bateri atau generator.

Pam itu dicipta khusus untuk kawasan operasi yang sukar mendapatkan bekalan air seperti di pedalaman Sarawak dan mampu beroperasi selama 3.7 jam secara berterusan.

“Pam ini lebih ringan, senyap dan mudah alih, sesuai digunakan di kawasan operasi bagi mengekalkan kerahsiaan dan menjimatkan tenaga serta kos bahan api,” katanya.

Projek yang bermula sejak 2015 itu melalui beberapa fasa prototaip sebelum berjaya dihasilkan dalam bentuk lebih efisien dan praktikal.

Mohamed Khaled dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan inovasi yang membuktikan warga pertahanan bukan sahaja berdisiplin tinggi, tetapi juga berfikiran maju dan kreatif.

“Gabungkan integriti sebagai asas dan inovasi sebagai sayap kemajuan. Jadilah mata dan telinga bukan hanya untuk mempertahankan negara, tetapi juga untuk memelihara integriti kita sendiri,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button