KESUMA bentang dua RUU bagi perkukuh sistem pembangunan kemahiran negara
KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong hari ini membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) penting berkaitan sistem latihan kemahiran di Dewan Rakyat bagi Bacaan Pertama, sebagai usaha memperkukuh pembangunan kemahiran negara.
Menurut Steven, kedua-dua pindaan iaitu RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 [Akta 652] dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640] merupakan langkah penting memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi cabaran ekonomi berteraskan kemahiran dan teknologi masa depan.
Beliau berkata, pindaan terhadap Akta 652 bertujuan memperkemaskan sistem persijilan kemahiran di Malaysia dengan beberapa penambahbaikan utama termasuk menambah keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan melibatkan kementerian strategik dan badan profesional supaya dasar TVET lebih inklusif.
Selain itu, ia turut mengiktiraf program latihan kemahiran di luar National Occupational Skills Standard (NOSS) bagi tujuan pembiayaan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
“Turut diperkenalkan ialah Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) sebagai laluan pembelajaran fleksibel sejajar dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat, serta pewujudan kategori baharu seperti Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran bagi mengiktiraf kepakaran tenaga kerja tempatan,” katanya.
Bagi pindaan terhadap Akta 640 pula, Steven berkata, skop pembiayaan PTPK diperluas agar lebih ramai rakyat Malaysia termasuk peserta program latihan bukan SKM tetapi berpermintaan tinggi oleh industri dapat menikmati kemudahan pinjaman dan bantuan kewangan.
Antara teras utama pindaan itu ialah perluasan skop pinjaman dan bantuan kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), pemantapan tadbir urus, serta pengukuhan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan termasuk sekatan keluar negara terhadap peminjam ingkar.
“Langkah ini membolehkan penyelarasan perundangan secara lebih seragam dan efisien, selain memastikan tadbir urus lebih telus serta berakauntabiliti,” katanya.
Menurutnya, bacaan kedua dan ketiga pindaan berkenaan akan dibentangkan serta dibahaskan di Parlimen Disember ini.
Beliau yakin pindaan kedua-dua akta tersebut akan menjadikan sistem pembangunan kemahiran negara lebih inklusif, fleksibel dan berimpak tinggi, sejajar dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan kemahiran, kebajikan dan keberhasilan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








