BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Khalwat usia senja, pasangan warga emas dicekup sekali lagi

ALOR GAJAH – Tindakan berani seorang wanita berusia 69 tahun berdua-duaan tanpa ikatan sah di rumah seorang lelaki berusia 81 tahun yang baharu kematian isteri di Lubok Cina, di sini, membawa padah apabila pasangan itu dicekup dalam satu serbuan, malam tadi.

Serbuan dilakukan sekitar pukul 10 malam oleh imam, ketua kampung, anggota polis serta penduduk selepas menerima aduan mengenai pasangan berkenaan yang sering dilihat bersama di kawasan itu.

Menurut sumber, lelaki terbabit dikatakan kerap membawa wanita dari kampung lain di daerah yang sama keluar bersama sebelum dicekup di kediamannya sendiri.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen sah pernikahan. Sebelum ini, pasangan sama pernah ditahan di rumah wanita berkenaan.

“Mereka juga difahamkan pernah merancang untuk berkahwin namun hasrat itu tidak kesampaian selepas wanita berkenaan didakwa mengalami gangguan mental ringan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Difahamkan, pasangan itu kini disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa nikah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed mengesahkan pihaknya hanya membantu dari aspek keselamatan bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Sementara itu, beberapa keping gambar serbuan yang dikongsikan di media sosial sejak malam tadi menarik perhatian ramai dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, terutama kerana membabitkan pasangan warga emas.

Semua individu yang terbabit dalam operasi itu difahamkan akan dipanggil ke pejabat agama hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button