Sokongan rakyat kepada BN di Kedah dalam keadaan baik
PADANG TERAP – Momentum sokongan rakyat di negeri Kedah kini dilihat semakin kukuh apabila beberapa kawasan ‘hitam’ kini berjaya ditembusi oleh Barisan Nasional (BN).
Menurut Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ‘aura’ keinginan rakyat negeri ini terhadap BN dapat dirasakan walaupun pihak lawan sering menyatakan mengenai gelombang yang menyebelahi Perikatan Nasional (PN).
“Dalam 15 kerusi BN bertanding, momentum sokongan itu nampak meningkat, seolah-olah terdapat aura untuk orang datang balik kepada BN.
“Kita tahu mereka mengharapkan gelombang seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu tetapi di sebalik semua itu, kita nampak ada momentum pula kepada sebelah sini (BN).
“Semua ini mungkin kerana kita kuat bekerja mendekati rakyat di bawah. Di Kedah kami menganggap diri sendiri sebagai ‘underdog’ kerana menentang pihak yang sebelum ini menjadi kerajaan negeri,” katanya ketika berkempen di Pedu dekat sini, hari ini.
Mahdzir yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan rakyat Kedah untuk memilih calon yang boleh bekerja berbanding golongan yang hanya bersifat populis.
“Rekod perkhidmatan sudah tentu diambil kira dan kalau undi itu dibuat atas dasar populis, belum tentu kita boleh capai perkara yang rakyat mahukan,” katanya.
Sementara itu Mahdzir mengingatkan jentera dan penyokong BN tidak perlu terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh pihak lawan yang menggunakan kata-kata kasar dalam ceramah dan kempen mereka.
“Tak payah gunakan bahasa kasar atau nak lawan semula kata-kata mereka. Sebagai contoh Muhammad Sanusi ketika berucap sebelum ini menggunakan perkataan ‘aku sepak satgi’ yang ditujukan kepada saya.
“Itu terpulanglah kepadanya tetapi budaya kita bukan macam itu. Tak payahlah nak jawab balik sebaliknya kita fokus kepada pengundi dan kita yakin rakyat Kedah bijak membuat pilihan,” katanya.