Perjanjian Malaysia-AS lindungi kedaulatan, elak ekonomi negara terjejas – Tengku Zafrul
PUTRAJAYA – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat tidak menjejaskan kedaulatan negara, sebaliknya penting untuk memastikan kestabilan ekonomi dan melindungi jutaan pekerjaan rakyat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dakwaan bahawa ART kononnya memaksa Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat adalah tidak berasas.
Jelasnya, pelaksanaan ART berbeza dengan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serta merupakan langkah strategik mempertahankan akses pasaran eksport Malaysia ke Amerika Syarikat.
“Nilai perdagangan dua hala pada 2024 mencecah RM325 bilion dengan eksport sebanyak RM198.65 bilion.
“Jika Malaysia tidak bertindak, banyak sektor kritikal termasuk E&E, aeroangkasa serta getah dan koko akan terjejas dan berjuta pekerja boleh hilang pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata, Malaysia kini menikmati kadar tarif 19 peratus, terendah dalam kalangan negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS, selain pengecualian tarif bagi 1,711 produk bernilai sehingga RM22 bilion.
“Jika ART ditolak, AS boleh menaikkan semula tarif hingga 24 peratus atau lebih tinggi, sekali gus memberi kesan buruk kepada daya saing eksport negara,” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata, perjanjian itu tidak memaksa pemindahan teknologi secara terbuka, tidak memberi akses automatik data kastam kepada AS dan tidak melibatkan dana kerajaan dalam komitmen pelaburan.
“Malaysia kekal mempunyai hak menentukan sebarang tindakan berkaitan sekatan antarabangsa melalui undang-undang domestik.
“Larangan eksport nadir bumi kekal. Kita utamakan pembangunan hiliran domestik bagi mencipta nilai tambah dalam negara,” katanya lagi.
Menurut beliau, dasar perolehan kerajaan, dasar Bumiputera dan autonomi dalam sektor strategik seperti tenaga dan telekomunikasi tetap tidak terjejas.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan. ART adalah langkah memastikan ekonomi negara berdaya saing dan pelabur kekal yakin,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








