BERITA SEMASA

Kerajaan sita lebih 53,000 bahan langgar Akta 326

SEPANG – Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri  (KDN) menyita lebih 53,000 pelbagai jenis teks dan bahan al-Quran kerana melanggar Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326).

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, nilai sitaan bahan tersebut adalah sebanyak RM1,597,131 dengan sebanyak 295 kertas siasatan dibuka bagi operasi antara Januari hingga September itu

Menurutnya, pada bulan Ramadan tahun ini sahaja, sebanyak 201 kertas siasatan dibuka.

“Bagi Ops Mulia sempena bulan Ramadan tahun ini yang dilaksanakan dari 7 hingga 26 Mac 2025, hasil penguatkuasaan berjumlah RM957,762.10.

“Hasil sitaan melibatkan 29,039 pelbagai jenis teks dan bahan al-Quran, selain 201 kertas siasatan turut dibuka,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Multaqa Madani Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ), di sini malam tadi.

Beliau menambah, sehingga bulan ini, sebanyak 39 syarikat masih memiliki Lesen Untuk Mencetak Teks Al-Quran yang aktif di bawah Akta 326.

Katanya, pemberian lesen itu adalah berdasarkan Seksyen 5(1) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986, yang memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh mencetak, menerbitkan atau membantu dalam penerbitan mana-mana teks al-Quran tanpa lesen sah daripada LPPPQ.

Beliau kemudiannya memberitahu, KDN melalui LPPPQ serta Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK KDN) sentiasa berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Pada majlis pelancaran itu, beliau memaklumkan beberapa inisiatif baharu diluncurkan sebagai komitmen berterusan KDN dalam memperkukuh mutu serta produktiviti penyampaian perkhidmatan berkaitan pengawalan dan pelesenan percetakan al-Quran.

Inisiatif berkenaan termasuk peluncuran Modul Profesionalisme Panel Semakan Al-Quran (ProQuran) yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan kualiti perunding al-Quran yang dilantik oleh industri percetakan serta penerbitan al-Quran.

Selain itu, turut diperkenalkan Sistem Semakan Al-Quran Pintar (Intelligence Tashih Al-Quran – iTAQ) berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), bagi membolehkan proses semakan dan pencetakan al-Quran dilakukan dengan lebih tepat, pantas dan selaras dengan keperluan semasa.

Menurut Shamsul Anuar, pelaksanaan inisiatif berkenaan mencerminkan kesungguhan KDN memperkukuh sistem pemeliharaan teks suci al-Quran agar sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk kesilapan atau penyelewengan, sejajar dengan cabaran dunia penerbitan masa kini yang semakin kompleks.

Sementara itu, dalam majlis sama, Shamsul Anuar bagi pihak PK KDN turut menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records atas kejayaan mencipta rekod The Largest Al-Quran Exchange dengan jumlah 70,000 naskhah Al-Quran tiada perakuan KDN telah ditukar ganti dengan Al-Quran baharu yang mempunyai perakuan KDN sehingga kini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button