KRISIS kemanusiaan di Gaza terus menguji nurani dunia. Kematian puluhan ribu penduduk awam, kemusnahan infrastruktur asas dan trauma berpanjangan menggambarkan kepedihan yang tiada penghujung.
Dalam dunia yang semakin terpolarisasi, ASEAN tampil dengan harapan baharu untuk membawa suara kemanusiaan bersama berteraskan keamanan, solidariti dan martabat insan.
Sejak awal 2025, ASEAN mengeluarkan beberapa kenyataan menuntut henti-senjata sementara, penghantaran bantuan tanpa sekatan serta sokongan kepada agensi antarabangsa seperti UNRWA.
Namun, bagi menjadikan pendirian ini bermakna, blok serantau itu perlu memperkukuh pelaksanaan di lapangan melalui tindakan kolektif dan diplomasi berprinsip.

Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ratna Roshida Abd Razak, berkata ASEAN mempunyai tanggungjawab moral dan geopolitik untuk memperjuangkan hak asasi serta kesejahteraan rakyat Palestin.
“ASEAN boleh menggunakan kenyataan bersama Menteri Luar (Chair’s Statement) untuk menuntut akses aman dan gencatan sementara sambil menegaskan sokongan terhadap UNRWA serta norma hak asasi antarabangsa.
“Konsistensi ini meningkatkan kredibiliti moral ASEAN dan menjadikan suaranya relevan dalam sistem antarabangsa yang semakin berpecah,” katanya.
Menurut Dr. Ratna, walaupun Gaza bukan sebahagian daripada Asia Tenggara, mekanisme sedia ada seperti AHA Centre dan AADMER boleh diadaptasi untuk misi kemanusiaan lintas rantau.
Melalui pendekatan “One ASEAN, One Response”, ASEAN berupaya menggerakkan logistik bantuan dan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) serta NGO Islamik.
Beliau mencadangkan penubuhan ASEAN Humanitarian Task Force for Gaza yang melibatkan AHA Centre, negara penderma dan organisasi kemanusiaan seperti MERCY Malaysia bagi memastikan penghantaran bekalan makanan, ubat-ubatan serta sokongan psikososial dan kesihatan mental (MHPSS) kepada mangsa konflik.
Pada masa sama, wajar diwujudkan ASEAN Gaza Humanitarian Fund untuk pembiayaan segera bantuan kecemasan dan pemulihan jangka panjang.
“ASEAN mempunyai kekuatan dari segi diplomasi moral dan soft power. Oleh itu, blok ini boleh menghantar delegasi khas atau Duta ASEAN ke Gaza bagi membawa suara kolektif di forum seperti PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dengan fokus kepada perlindungan sivil serta akses kemanusiaan tanpa syarat.
“ASEAN perlu menampilkan pendekatan etika kemanusiaan, bukan retorik geopolitik. Naratif Asia Tenggara mesti berasaskan martabat manusia dan tanggungjawab bersama,” jelas beliau.
Katanya, kesan perang di Gaza bukan hanya bersifat politik, tetapi juga meliputi dimensi sosial, psikologi dan ekologi. Struktur keluarga yang musnah, trauma generasi serta pencemaran air menuntut tindak balas bersepadu.
Dalam jangka panjang, Dr. Ratna menegaskan usaha kemanusiaan mesti disertai pendidikan nilai. Modul pendidikan kemanusiaan ASEAN wajar diperkenalkan di sekolah dan universiti bagi membina empati dan literasi konflik.
“Kempen media serantau harus berfokus kepada naratif kemanusiaan melalui dokumentari, webinar dan laporan berasaskan hati. Pertukaran pelajar dan profesional dalam bidang psikologi, perubatan serta komunikasi juga boleh memperkukuh solidariti lintas sempadan,” katanya.
Antara cabaran utama ASEAN ialah prinsip non-interference, perbezaan kepentingan negara anggota dan sekatan logistik ke Gaza.
Namun kata beliau tindakan kolektif tetap boleh dilakukan jika ASEAN berpaksikan nilai empati dan neutraliti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








