“A GREAT and very vibrant country“. Itulah ungkapan ringkas dan padat yang diluahkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke 47 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Kenyataan itu bukan sekadar diplomatik tetapi mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dalam mengemudi sidang berprofil tinggi dengan penuh berwibawa.
Sepanjang minggu ini, Kuala Lumpur berubah menjadi pusat diplomasi dunia apabila barisan pemimpin global berduyun-duyun tiba bagi menghadiri sidang kemuncak yang disifatkan paling berjaya dalam sejarah penganjurannya.
Sempena kunjungannya, Trump memberi isyarat keyakinan yang jelas terhadap kepimpinan Malaysia dengan menandatangani perjanjian perdagangan baharu dan kerjasama nadir bumi antara AS dengan Malaysia.
Beliau juga menegaskan komitmen Washingston sebagai rakan kongsi yang konsisten terhadap Asia Tenggara.
Di luar sidang itu, Trump menyaksikan “Perjanjian Damai Kuala Lumpur” yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet sekaligus
menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan beliau menjadi perantara kepada pemeteraian perjanjian damai antara kedua negara.
Selain Trump, sidang kali ini menyaksikan kehadiran pemimpin rakan dialoq ternama dunia termasuk Perdana Menteri China, Li Qiang; Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi; Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung; serta Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Turut hadir, Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon; Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexey Overchuk.
Sementara itu Perdana Menteri India, Narendra Modi turut serta secara maya dalam sidang yang menjadi gelanggang penting dalam membentuk masa depan ekonomi dan keselamatan rantau Asia Tenggara itu secara maya.
Dua pemimpin dari negara rakan dialoq sektoral iaitu Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa turut hadir menandakan pengaruh ASEAN yang semakin meluas di peringkat global.
Lula da Silva berkata, Brazil berminat untuk menjalin kerjasama dengan ASEAN bagi memperkukuh pengeluaran biobahan api, sekali gus mencapai matlamat mengurangkan kebergantungan terhadap negara pengeluar tenaga lain.
Dalam pertemuan dengan Cyril Ramaphosa, Malaysia mengiktiraf Afrika Selatan sebagai rakan dagang terbesar di benua Afrika dan menyatakan hasrat memperluas pasaran eksport minyak sawit serta memperkukuh penyertaan sektor swasta dalam bidang tenaga, pertanian dan pembuatan bernilai tinggi.
Bukan sekadar pemimpin negara, sidang kali ini turut dihadiri tokoh utama dunia seperti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa; serta Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, yang memuji kestabilan ekonomi ASEAN walaupun berdepan ketidaktentuan global.
Turut hadir Naib Presiden Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Carlos Felipe Jaramillo, serta Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang mengumumkan kerjasama pembangunan sukan belia ASEAN bersama Malaysia sebagai tuan rumah utama.
Sementara itu, ramai pemerhati antarabangsa menyifatkan penganjuran Malaysia kali ini jauh lebih kemas berbanding Sidang ASEAN dua tahun lalu terutama daripada aspek keselamatan, logistik hinggalah protokol diplomatik yang diurus dengan cemerlang, sekaligus meletakkan tanda aras yang tinggi kepada negara tuan rumah akan datang.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan diteruskan sehingga hujung minggu ini dengan beberapa pengumuman penting dijangka dibuat termasuk kerjasama ekonomi baharu, dasar keamanan serantau serta inisiatif pembangunan mampan yang bakal menentukan arah masa depan Asia Tenggara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








