MyBarakah perkenal sistem agihan digital pastikan bantuan lebih telus
KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh ketelusan dalam penyaluran bantuan berasaskan syariah menjadi keutamaan MyBarakah Synergy Sdn Bhd (MyBarakah) menerusi pelaksanaan sistem agihan digital yang memudahkan penyumbang serta penerima.
Pengarah Urusannya, Noorhaslizan Shah Sulaiman berkata, pendekatan itu bukan sahaja menjamin kecekapan pengurusan zakat, wakaf dan sumbangan, malah memastikan bantuan sampai terus kepada golongan yang layak tanpa sebarang ketirisan.
Menurut beliau, sejak beroperasi pada tahun 2021, MyBarakah menguruskan pelbagai bentuk bantuan melalui kad digital khas e-dompet yang membolehkan penerima membuat pembelian barangan keperluan di rangkaian kedai di bawah syarikat tersebut.
“Kaedah ini terbukti berkesan, terutama ketika tempoh pandemik COVID-19 apabila ramai terkesan dari segi ekonomi. Kad digital ini digunakan untuk transaksi pembayaran dan pembelian selain menjadi medium pengagihan bantuan bulanan,” katanya pada sidang akhbar di sini, baru-baru ini.
Noorhaslizan menjelaskan, kad digital berkenaan turut disinergikan dengan Mastercard, sekali gus memudahkan transaksi penerima termasuk ketika berada di Tanah Suci.
Tambah beliau, MyBarakah kini mempunyai kira-kira 3,000 penerima bantuan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 180,000 orang dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), pusat zakat negeri serta agensi berkaitan.
“Setiap sumbangan direkod secara telus dan boleh disemak oleh penyumbang serta pentadbir dana bagi memastikan ketelusan. Ia juga menjamin tiada penyelewengan dan penerima yang benar-benar layak sahaja menerima manfaat,” katanya.
Beliau turut menegaskan MyBarakah sedang membangunkan ekosistem ekonomi berasaskan syariah yang menekankan kebertanggungjawaban dan keberkatan dalam setiap transaksi.
Selain itu, platform yang diwujudkan turut memudahkan masyarakat menyalurkan sumbangan serta menerima bantuan secara efisien, mudah dan bebas keraguan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








