Zakat Selangor perjelas isu ZPay, dakwaan ejen bukan Islam tidak benar
SHAH ALAM – Dakwaan sebuah syarikat milik bukan Islam dilantik sebagai ejen kutipan zakat menerusi platform digital ZPay adalah tidak benar, tegas Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).
Menurut Zakat Selangor, ZPay adalah aplikasi rasmi milik agensi itu yang dibangunkan sebagai platform saluran pembayaran zakat tanpa tunai bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab dengan lebih pantas, selamat dan teratur.
Katanya, kemudahan itu sebahagian daripada usaha berterusan Zakat Selangor memperkukuh sistem kutipan yang lebih cekap, telus dan mesra pembayar.
“Bagi membangunkan dan mengendalikan kemudahan digital ini, Zakat Selangor melantik penyedia teknologi berdasarkan kepakaran teknikal serta keperluan keselamatan sistem.
“ATX Distribution Sdn Bhd berperanan sebagai syarikat dilantik bagi membangunkan sistem dan menyelenggara aplikasi, manakala pihak GKash adalah gerbang pembayaran (payment gateway) yang diintegrasikan pihak ATX bagi pemprosesan transaksi digital secara masa nyata.
“GKash berfungsi sebagai infrastruktur teknikal yang menghubungkan institusi perbankan pembayar dengan sistem ZPay dan ia tidak mempunyai sebarang hubungan kontrak lantikan sebagai ejen kutipan dengan Zakat Selangor.
“Tanggungjawab kutipan dan agihan zakat dilaksanakan sepenuhnya oleh Zakat Selangor bersama penolong amil individu yang ditauliahkan secara rasmi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya dalam kenyataan semalam.
Zakat Selangor menambah, bagi memastikan transaksi berjalan lancar dan teratur, bayaran zakat diurus melalui akaun khusus patuh syariah yang dikawal selia mengikut perjanjian serta prosedur kewangan pihaknya.
“Kaedah ini memastikan pemprosesan transaksi yang cekap dan pengasingan agihan upah Penolong Amil dibuat secara segera tanpa menjejaskan integriti dana zakat.
“Sebarang caj pemprosesan transaksi dan bayaran kepada penyedia saluran pembayaran berdasarkan kos perkhidmatan sistem yang diperuntukkan di bawah pengurusan amil.
“Jumlah zakat dibayar pembayar kekal sepenuhnya sebagai dana zakat dan tidak membabitkan sebarang potongan komisen.
“Dari sudut hukum syarak, penggunaan kemudahan transaksi kewangan disediakan penyedia saluran pembayaran termasuk syarikat bukan Islam, adalah diharuskan selaras prinsip fiqh muamalat di bawah konsep Ijarah (sewaan perkhidmatan),” katanya.
Jelas Zakat Selangor, kaedah berkenaan juga tidak menjejaskan niat pembayar, tidak menggugat kesempurnaan akad zakat dan tidak menjejaskan kesahan ibadah zakat yang ditunaikan.
“Pendirian ini selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2019 bertarikh 30 Oktober 2019 yang memutuskan pembayaran zakat melalui saluran pembayaran digital seperti e-dompet dan kod QR adalah harus menurut hukum syarak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








