Insiden letupan mercun: Polis tahan 2 lelaki
KULIM – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan insiden letupan mercun sempena sambutan Deepavali yang menyebabkan 22 orang cedera, malam semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, suspek berkenaan masing-masing ditahan di Taman Senangin dan Paya Besar, hari ini.
“Suspek pertama berusia 34 tahun beralamat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai khidmat pelanggan.
“Manakala suspek kedua lelaki berusia 23 tahun beralamat di Jalan Paya Besar, Lunas dan bekerja sebagai pembantu kedai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkifli turut berkata, kedua-dua mereka masing-masing didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek adalah kenalan lama dan ketika kejadian mereka sedang melepak bersama beberapa rakan lain di kawasan terbabit.
“Ketika itu suspek pertama dalam keadaan mabuk mendapatkan mercun jenis ‘kelapa’ di sebuah khemah yang menjual bahan letupan itu pada harga RM200.
“Suspek kemudian membawa dan memasukkan mercun itu ke dalam sebuah silinder yang tersedia di tepi jalan dan pada waktu itu rakan-rakan lain dan orang ramai yang lalu turut menyaksikan pertunjukan mercun di situ.
“Selepas itu, suspek kedua kemudian membakar mercun berkenaan tetapi tidak naik dan meletup di bawah, disyaki akibat dipasang secara terbalik oleh suspek pertama.
“Akibat letupan itu, 22 mangsa yang berada dan lalu di situ cedera termasuk seorang mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala iaitu retak tengkorak bahagian dahi dan kini dirujuk ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.
Zulkifli berkata, setakat ini 10 mangsa sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 22 orang cedera susulan letupan mercun sempena sambutan Deepavali di tepi Jalan Paya Besar, di sini, tengah malam semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







