Polis tahan suami wanita disyaki dicampak dari van
KUALA LUMPUR – Pihak polis menahan suami kepada wanita yang maut selepas dipercayai tercampak dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, di sini semalam.polis
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan pukul 6 petang semalam di sekitar Bandar Kinrara.
Kata Aidil, berdasarkan pengakuan awal, suspek mengaku berlaku pertengkaran mulut dengan isterinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Pada masa ini pihak polis masih dalam proses mendapatkan perintah tahanan reman suspek.
“Sudah semestinya fokus siasatan adalah kepada punca kejadian sama ada suspek menolak isterinya atau mangsa terjun sendiri,” katanya, hari ini.
Tambah Aidil, suspek dan mangsa telah berkahwin sejak 20 tahun lalu dan mempunyai dua orang anak.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.
“Dia mendakwa isterinya turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Laporan media sebelum ini meyebut mengenai penemuan jasad seorang wanita di tepi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








