Aspirasi MADANI kukuh pertahanan dan kedaulatan negara
MELAKA – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Politeknik Merlimau, Jasin melabuhkan tirainya hari ini dengan penutupan rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program bertemakan “Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara” itu dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka (PSUK Melaka).
Sepanjang penganjuran dari 17 hingga 19 Oktober, lebih 200,000 pengunjung hadir memeriahkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran ketenteraan, perkhidmatan kerajaan, demonstrasi keselamatan serta aktiviti komuniti.

Menurut MINDEF, penganjuran PMR 2025 memperkukuh komitmen pertahanan negara berteraskan konsep “Pertahanan Menyeluruh” (HANRUH), “Pertahanan Bersama” dan pendekatan “Whole of Government and Whole of Society” (WoGoS).
“Prinsip ini bukan hanya menumpukan kepada kekuatan aset ketenteraan semata-mata, tetapi juga kepada perpaduan rakyat, inovasi dan nilai ihsan yang menjadi tunjang kesejahteraan negara,” kata MINDEF dalam kenyataan hari ini.
Lebih 100 perkhidmatan kerajaan turut disediakan secara langsung kepada orang ramai melalui penyertaan 27 kementerian dan agensi.
Antara yang mendapat sambutan ialah kaunter perkhidmatan bergerak, konsultasi dasar kerajaan, bantuan keusahawanan, pendidikan, kesihatan serta pameran interaktif dan jualan MADANI oleh usahawan tempatan.
Segmen pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi antara tarikan utama dengan pameran aset ketenteraan, demonstrasi taktikal pasukan khas, pertunjukan terjun payung, kawad senyap, demonstrasi anjing perang serta pertunjukan udara pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain itu, pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut diadakan termasuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), jualan makanan tempatan, cabutan bertuah serta kaunter khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Program turut diperluas ke kawasan sekitar menerusi Program Satelit berkonsepkan Civil-Military Cooperation (CIMIC) yang menekankan kerjasama masyarakat awam dan ATM.
Aktiviti satelit itu merangkumi kerja baik pulih bangunan, gotong-royong, program kerohanian, pengagihan makanan dan ubat-ubatan, serta program perpaduan dan kesukarelawan.
Turut hadir pada majlis penutupan ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta barisan kepimpinan tertinggi kementerian dan agensi kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








