PM zahir kebimbangan gempa bumi kuat di Filipina, Malaysia sedia hulur bantuan
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan susulan gempa bumi kuat yang melanda selatan Filipina awal pagi ini, sambil menegaskan Malaysia bersedia menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan negara jiran itu.
Beliau berkata, kerajaan dan rakyat Malaysia turut mendoakan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Filipina yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Saya ingin menyatakan kebimbangan yang mendalam susulan gempa bumi kuat yang berlaku di selatan Filipina awal pagi ini. Ingatan dan doa kami sentiasa bersama rakyat Filipina.
“Malaysia bersedia untuk memberikan apa jua bantuan yang diperlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut mengambil maklum kesan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan di Sabah susulan gempa bumi tersebut.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan sedang memantau perkembangan semasa dengan rapi, manakala pasukan kecemasan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kerajaan sedang memantau situasi ini dengan teliti dan perkhidmatan kecemasan berada pada tahap kesiapsiagaan penuh,” katanya.
Menurut beliau, hubungan erat antara Malaysia dan Filipina sebagai negara sahabat serta rakan dalam ASEAN menuntut semangat solidariti dan kerjasama ketika berdepan situasi mencabar.
Beliau turut mendoakan agar semua mangsa yang terjejas diberikan keselamatan, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi hari-hari mendatang.
“Malaysia dan Filipina adalah sahabat rapat serta rakan ASEAN. Saya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terkesan serta semoga mereka diberikan kekuatan dan keberanian untuk menghadapi saat-saat sukar ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















