Had umur 16 tahun akses media sosial wajar, elak tekanan remaja – Pakar
KUALA LUMPUR – Cadangan mengehadkan akses media sosial kepada pengguna berumur 16 tahun disambut baik oleh golongan akademik kerana dianggap langkah pencegahan awal yang tepat bagi melindungi kesihatan mental remaja.
Kaunselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad berkata, pada usia tersebut, remaja masih melalui proses perkembangan emosi dan kognitif serta mudah terdedah kepada kandungan berisiko seperti buli siber, tekanan sosial dan maklumat tidak sahih.
“Langkah ini boleh membantu membina daya tahan emosi dan kematangan sebelum mereka berdepan dunia digital yang luas, namun
had umur sahaja tidak mencukupi, ia perlu disokong oleh pemantauan ibu bapa, literasi digital di sekolah serta kerjasama pelbagai pihak,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Baca juga : Jemaah Menteri secara dasar setuju naik had umur pengguna media sosial kepada 16 tahun
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan kerajaan bersetuju secara dasar untuk menaikkan had umur pengguna media sosial kepada 16 tahun.
Fahmi berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam pertemuan bersama pihak berkuasa berkaitan serta pengendali platform media sosial dan e-dagang di Singapura minggu depan.
Beliau menjelaskan, Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi melindungi golongan kanak-kanak serta memastikan garis panduan komuniti benar-benar dikuat kuasa.
@malaysiatribune Jemaah Menteri hari ini bersetuju secara dasar dengan cadangan menaikkan had umur pengguna media sosial di negara ini kepada 16 tahun, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. #malaysiatribune #beritasemasa #mcmc #fahmifadzil
Cadangan tersebut timbul berikutan kebimbangan masyarakat terhadap pengaruh media sosial terhadap pelajar sekolah, termasuk kejadian seorang pelajar berusia 16 tahun yang maut ditikam rakan sekelas berumur 14 tahun di Petaling Jaya baru-baru ini.
Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dipengaruhi media sosial dan permainan video.

Mengulas lanjut, Dr. Fauziah menjelaskan, perkembangan kognitif dan emosi remaja masih belum matang sepenuhnya.
Dari segi kognitif, katanya, remaja masih belajar membezakan antara realiti dan fantasi serta belum berupaya menilai risiko dan akibat tindakan secara mendalam, menjadikan mereka mudah terpengaruh dengan pengaruh luar termasuk dunia digital.
Manakala dari segi emosi, mereka mudah mengalami perubahan perasaan yang tidak stabil seperti cepat marah, cemburu atau tertekan, selain masih belajar mengawal perasaan tanpa bertindak agresif.
“Apabila perkembangan emosi dan kognitif belum matang sepenuhnya, mereka lebih mudah mengambil tindakan tanpa berfikir panjang, terpengaruh dengan trend negatif dalam talian serta sukar mengawal tekanan sosial,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya pendidikan emosi awal, kemahiran daya tahan dan bimbingan ibu bapa bagi membantu remaja menjadi individu yang stabil serta matang dalam membuat keputusan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















One Comment